TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

30 November 2009

USAHAWAN PKS JUTAWAN

Oleh Junita Mat Rasid
junita@bharian.com.my



ABDUL GHANI (tiga dari kiri) menyerahkan mesin dan peralatan kepada peserta Program Galakan Usahawan (PGU) di Bukit Gambir, baru-baru ini.

20 pengusaha peroleh hasil jualan RM1 juta hingga RM1.5 juta setahun

BUKIT GAMBIR: Program Galakan Usahawan anjuran kerajaan negeri yang dijalankan sejak tujuh tahun lalu, berjaya melahirkan 1,101 usahawan termasuk 20 pengusaha yang mencatatkan hasil jualan antara RM1 juta hingga RM1.5 juta setahun.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman, berkata program itu membabitkan peruntukan kira-kira RM1 juta setahun untuk melaksanakan projek Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang diagihkan kepada pengusaha daripada pelbagai kategori termasuk produk asas tani untuk mendapatkan keperluan mesin dan peralatan.

Katanya, kejayaan melahirkan pengusaha PKS yang berjaya membuktikan perusahaan itu mampu bertahan dan berkembang dengan pesat dan mencatat peningkatan pasaran yang luas.

"Perusahaan itu berjaya menarik minat masyarakat kerana ia boleh bercambah dengan meluas, bertapak, bertahan kepada paras yang lebih tinggi dengan saiz yang berubah," katanya pada Majlis Penyerahan Mesin dan Peralatan Program Galakan Usahawan Negeri Johor, di Dewan Serbaguna Bukit Gambir, dekat sini, baru-baru ini.

Pada majlis itu, seramai 46 usahawan daerah Ledang dan Muar menerima bantuan pelbagai mesin dan peralatan termasuk mesin pemerah tebu, pengisar, mesin penguli tepung dan ketuhar.

Abdul Ghani berkata, kerajaan negeri berbangga kerana ramai usahawan mampu memperoleh jumlah jualan yang tinggi termasuk 20 pengusaha yang mencatatkan jualan antara RM1 juta hingga RM1.5 juta setahun sehingga berjaya mengeksport produk mereka.

Selain itu, katanya, seramai 70 pengusaha PKS mencatatkan nilai jualan antara RM500,000 hingga RM1 juta setahun, manakala 200 pengusaha lain menghasilkan jualan kira-kira RM500,000, sekali gus membuktikan perusahaan itu mampu mencatatkan hasil lumayan jika mereka berusaha gigih, tabah, tekun dan sentiasa meningkatkan ilmu pengetahuan berkaitan bagi memastikan peningkatan pengeluaran serta kualiti.

“Tidak keterlaluan jika dikatakan PKS turut berjaya melahirkan ramai pengusaha jutawan berdasarkan keuntungan daripada nilai jualan tahunan yang berjaya mereka kumpulkan.

"Jika pengusaha itu mencatatkan nilai jualan tinggi dan 10 peratus daripada hasil jualan itu adalah keuntungan bersih, sudah pasti mereka layak bergelar jutawan dalam tempoh beberapa tahun saja," katanya.

Abdul Ghani berkata, program galakan usahawan itu turut melatih pengusaha berdikari kerana kerajaan hanya membantu untuk mendapatkan mesin dan peralatan, manakala proses untuk menghasilkan produk itu bergantung kepada usaha mereka sendiri.

Beliau berkata, jumlah usahawan PKS akan terus bertambah melalui pelbagai penambahbaikan selain galakan berterusan daripada kerajaan termasuk bantuan melalui program galakan usahawan.

Katanya, kejayaan itu bukan hanya bergantung kepada kemampuan pengusaha meningkatkan pengeluaran dan kualiti produk, malah memerlukan pelbagai strategi untuk menambah baik nilai produk dengan penjenamaan, pembungkusan dan pelabelan yang menarik serta pasaran meluas.

SUMBER: BERITA HARIAN EDISI JOHOR, 30 NOVEMBER 2009

Tiada ulasan: