PENGUNJUNG SETIA

08 November 2009

INFORMASI PELANCONGAN

MUAR 7 Nov. - Pentadbiran di setiap daerah di negeri ini disaran mewujudkan pusat informasi pelancongan yang lebih mesra di lokasi strategik dalam memudahkan akses maklumat kepada para pelancong.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Perdagangan Dalam Negeri Johor, Hoo Seong Chang berkata, pusat informasi berkenaan perlu ditempatkan di kawasan yang mudah didatangi pelancong.

"Saya juga mencadangkan agar setiap daerah mengeluarkan peta pelancongan yang dapat memberi maklumat tentang tarikan-tarikan sedia ada.

"Di samping itu, pengusaha tempatan sewajarnya menaik taraf perkhidmatan masing-masing sesuai dengan cita rasa pelancong," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke menara tinjauan burung bernilai RM300,000 yang baru siap dibina di Pantai Leka, Parit Jawa, di sini hari ini.

Terdahulu, beliau melakukan lawatan di sekitar bandar Muar dan mendengar taklimat mengenai projek-projek pelancongan di daerah ini.

Hadir mengiringi beliau adalah Yang Dipertua Majlis Perbandaran Muar (MPM), Ab. Wahab Ridwan serta Pengurus Besar Majlis Tindakan Pelancongan Johor, A. Jabar Md. Tahir.

Menurut Seong Chang, beliau juga bangga dengan kejayaan daerah Muar menarik kehadiran pelancong-pelancong secara berterusan menerusi pelbagai pakej yang ditawarkan.

"Setiap minggu, Muar menerima kedatangan bas-bas rombongan pelancong dan saya melihat tarikan baru seperti pakej bot menyusuri sungai Muar mendapat sambutan yang begitu menggalakkan," katanya.

SUMBER: MINGGUAN MALAYSIA, 8 NOVEMBER 2009

Tiada ulasan: