TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

15 Disember 2009

PENYELAM TIRAM SUNGAI MUAR


Pelancong boleh melihat lebih dekat kehidupan para nelayan mencari tiram di Sungai Muar, Muar, Johor. - UTUSAN/Kamil Maslih


MUAR 14 Dis. - Daerah Muar kaya dengan pelbagai tarikan pelancongan, namun antara yang paling mencuri tumpuan adalah aktiviti menyelam tiram secara tradisional yang masih diamalkan golongan nelayan di sini.

Dengan kemampuan menahan nafas selama hampir empat minit, kelebihan nelayan terbabit untuk mengutip hasil tiram adalah amat mengagumkan kerana mereka langsung tidak menggunakan sebarang kelengkapan menyelam moden.

Nelayan-nelayan dari Parit Tiram dekat sini hanya menggunakan pancang kayu untuk dipacakkan ke dasar sungai sebagai panduan daripada arus dan mengaut tiram di bawah paras lima meter sedikit demi sedikit untuk dibawa ke permukaan.

Pengerusi Pengurusan Sumber Perikanan Kumpulan Nelayan Parit Tiram, Jelani Laham berkata, aktiviti menyelam tiram tersebut telah wujud sejak 1870-an dan diteruskan dari satu generasi ke generasi lain oleh penduduk.

Menurutnya, kini seramai 20 penyelam tiram berusia antara 30 hingga 68 tahun masih lagi aktif mencari rezeki di sekitar lokasi perikanan yang tertua di daerah ini.

"Pangkalan Nelayan Parit Tiram ini cukup terkenal dengan pengeluaran hasil tiram bermutu tinggi sejak negara belum merdeka lagi, malah mutu tiram yang dikeluarkan dikatakan antara yang terbaik di dunia.

"Kegiatan menyelam tiram ini adalah bergantung kepada jadual air pasang dan setiap sehari para nelayan boleh memperoleh 40 hingga 50 kilogram tiram yang dijual dengan harga RM25 sekilogram," katanya di sini baru-baru ini.

Berikutan keunikan teknik tradisional menyelam tiram itu, pihaknya telah mendapat banyak permintaan daripada sektor pelancongan untuk membawa para pengunjung menyaksikan sendiri kegiatan berkenaan.

Menerusi pakej yang ditawarkan, para pelancong yang melawat pangkalan itu berpeluang menaiki bot untuk melihat secara lebih dekat bagaimana penyelam bertarung nyawa setiap hari untuk mencari rezeki.

"Penyelam tiram yang meneroka dasar Sungai Muar itu perlu memegang batang kayu yang dipacak pada dasar sungai untuk mengelakkan daripada dihanyutkan arus sebelum mengaut tiram berulang kali.

"Sebelum ini, para pelancong tidak pernah melihat bagaimana tiram diperoleh kerana membelinya yang telah siap diproses. Pastinya, peluang melihat proses menyelam tiram itu memberikan pengalaman berharga dan berbeza," katanya.

Jelani memberitahu, pakej pelancongan yang ditawarkan sejak dua tahun lalu kini mendapat sambutan hangat daripada pelancong dari Kuala Lumpur, Johor Bahru serta Singapura.

Mengenai perancangan masa depan, beliau berkata, pihaknya berhasrat untuk menaik taraf Pangkalan Nelayan Parit Tiram supaya lebih mesra pelancong dengan pelbagai produk dapat dijual untuk meningkatkan pendapatan para nelayan.

Beliau berkata, kawasan Sungai Muar masih kaya dengan hasil tiram kerana pada ketika ini hanya sebahagian kecil dari kawasan sepanjang 20 kilometer pesisir sungai itu diteroka oleh penyelam tiram.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 15 DISEMBER 2009

Tiada ulasan: