PENGUNJUNG SETIA

04 Disember 2009

PENDUDUK RAI ARTIS PUJAAN


MUSTAPHA Maarof (tengah), Jins Shamsuddin serta rombongan artis meninjau proses membuat baulu dalam lawatan di kilang IKS, Aneka Enterprise di Kampung Parit Bugis, Muar, Johor, kelmarin.

MUAR 3 Dis. - Keriangan jelas terpancar pada wajah penduduk Kampung Parit Bugis di sini semalam kerana dapat bertemu artis pujaan mereka menerusi program lawatan 'Kembara Seniman, Jelajah Malaysia'.

Ketibaan rombongan seramai 53 orang artis itu disambut dengan penuh meriah dan pelbagai rangka aktiviti disusun dalam mengeratkan hubungan antara artis dengan masyarakat setempat.

Ia diketuai Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Datuk Mustapha Maarof, dan para artis dalam rombongan berkenaan cukup mesra dengan penduduk kawasan itu.

Mereka termasuk Datuk Aziz Sattar, Tan Sri Jins Shamsudin, Hail Amir, Datin Azizah Mohamad, Aspalela Abdullah, Imuda, Abu Bakar Omar serta artis Akademi Fantasia seperti Nas Adilah, Aliff, Shidi dan Rini.

Insan seni berkenaan tidak menang tangan untuk melayan para peminat yang mahu mengenali secara lebih mesra di samping mengambil kesempatan bergambar bersama.

Antara pengisian program yang bermula semalam itu adalah lawatan ke premis-premis Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di kampung itu selain pertunjukan pentas yang cukup menghiburkan dan persembahan kebudayaan.

Menurut Hail Amir, kesempatan menerusi rombongan tersebut memberi peluang kepadanya untuk mendekati peminat-peminat yang berada di luar bandar.

"Reaksi yang saya terima adalah di luar jangkaan kerana masih ramai peminat di luar sana yang begitu menghargai kita.

"Peluang ini juga dapat digunakan sebaik-baiknya untuk menyemarakkan lagi gagasan 1Malaysia yang menggalakkan masyarakat di negara kita ini saling bersatu-padu," katanya.

Sementara itu, Jins Shamsuddin berkata, Muar merupakan destinasi keempat rombongan tersebut selepas melawat Tanjung Karang; Selangor, Kuantan; Pahang dan Ipoh, Perak.

"Warga seni sebenarnya dapat memainkan peranan untuk menyatupadukan masyarakat kerana kesenian dan kebudayaan tidak mengenal tembok pemisah," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 4 DISEMBER 2009

Tiada ulasan: