PENGUNJUNG SETIA

04 Disember 2009

30 KERETA SERTAI AUTOSHOW DI KARNIVAL LEDANG

Sebuah kereta yang menyertai pertandingan autoshow di Dataran Dewan Serbaguna Bukit Gambir, Ledang.

Pengunjung Karnival Jualan Mega Ledang 2009 melihat kereta yang menyertai pertandingan autoshow di Dataran Dewan Serbaguna Bukit Gambir.

HAI ROZZAMAN JALAL | BERITA HARIAN

LEDANG: Sebanyak tiga puluh buah kereta pelbagai jenama memenuhi Dataran Dewan Serbaguna Bukit Gambir bagi menyertai pertandingan autoshow sempena Karnival Jualan Mega Ledang 2009.

Program autoshow itu yang dianjurkan oleh Faceless Motor Club (FMC) dan Majlis Daerah Tangkak (MDT) dengan kerjasama Jazz Mal Production & Entertainment itu berjaya menarik minat peserta dari seluruh Johor, Melaka dan Kuala Lumpur.

Penyelaras Program, Mohd Zainal Norizan, berkata program itu bertujuan untuk menghimpunkan seberapa banyak kereta menyertai pertandingan yang dibahagikan kepada empat kategori dengan hadiah yang menarik.

Katanya, program tersebut merupakan kesinambungan kepada kejayaan FMC menganjurkan program serupa pada Januari lalu di Kompleks Pasar Tani Bukit Gambir.

“Melalui program ini, kami dapat menghimpunkan beberapa kelab kereta yang ada di sekitar negeri Johor dan Melaka seperti South Kelisa Owners Club (SKOC), Peace Motorclub, Advanti, Pantera dan Proton Club.

“Selain menyertai pertandingan mereka dapat berkenalan dan bertukar-tukar pandangan sama ada berkaitan kelab ataupun kereta terutama kenderaan yang memasuki pertandingan tersebut,” katanya.

Zainal berkata, walaupun mereka yang menyertai pertandingan itu mempamerkan corak dan aksesori yang hebat pada kereta namun persaingan di antara satu sama lain menjadikan kemenangan sebagai perkara kedua.

Katanya, minat yang mendalam terhadap aksesori kereta menyebabkan mereka sanggup mengeluarkan perbelanjaan besar semata-mata untuk memenuhi kepuasan mereka dalam bidang itu.

Tambahnya, kebanyakan peserta pertandingan autoshow ini pernah menyertai beberapa pertandingan yang dianjurkan oleh kelab kereta, persatuan belia, syarikat mahupun Badan Bukan Kerajaan (NGO) di seluruh Johor dan Melaka.

Selain itu, Zainal berkata dengan penganjuran program seumpama itu dapat mempromosikan pekan Bukit Gambir khasnya dan daerah Ledang amnya kepada para peserta pertandingan yang mungkin baru pertama kali datang di sini.

Katanya, ia juga dapat menarik pengunjung tempatan menyaksikan pameran kereta cantik dengan hiasan aksesori yang menarik yang jarang diadakan di kawasan ini.

SUMBER: BERITA HARIAN EDISI JOHOR, 04 DISEMBER 2009

Tiada ulasan: