PENGUNJUNG SETIA

28 Disember 2009

MAUT DIREMPUH LEPAS BELI BUAH

TANGKAK: Seorang pesara kerajaan maut dirempuh sebuah kereta ketika mahu masuk ke dalam kenderaannya selepas berhenti di bahu jalan untuk membeli buah di Parit Bunga, Jalan Muar-Tangkak di sini, kelmarin.

Mislan Abu, 62, dikatakan dirempuh sebuah kereta jenis Toyota Vios dipandu seorang lelaki dalam keadaan sedang memotong di bahagian kiri jalan berikutan kesesakan jalan dalam kejadian kira-kira jam 5 petang.

Mangsa dipercayai dalam perjalanan dari Muar ke Tol Tangkak untuk pulang ke Seremban, Negeri Sembilan bersama isteri, Jamiah Mat Esa, 50-an selepas menghadiri majlis perkahwinan anak rakannya di Simpang Jeram, Muar, di sini.

Seorang peniaga buah, Aishah Adnan, 47, berkata mangsa hendak masuk ke Mercedes Benz dipandunya selepas selesai membeli buah sebelum secara tiba-tiba sebuah kereta yang memotong di laluan kiri merempuhnya belakang menyebabkan mangsa terpelanting jatuh di depan gerainya.

“Saya sedang melayan pelanggan ketika terdengar bunyi dentuman sebelum ternampak mangsa jatuh di depan gerai, ketika itu isteri mangsa tergamam melihat kejadian itu dan masih belum sempat lagi membuka pintu kereta di bahagian penumpang,” katanya.

Mangsa kemudian dibawa dengan ambulans ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah untuk (HPSF) Muar untuk rawatan lanjut tetapi disahkan meninggal dunia kira-kira jam 3.15 pagi, semalam.

SUMBER: HARIAN METRO, 28 DISEMBER 2009

Tiada ulasan: