PENGUNJUNG SETIA

01 Jun 2008

LEDANG DIISYTIHAR DAERAH BARU 9 JUN

Ledang diisytihar daerah baru 9 Jun

Oleh SUFFIAN ABU BAKAR

ABDUL Ghani Othman menanam pokok sebagai tanda merasmikan Kelab Al-Ansor peringkat Parlimen Ledang di Dataran Bestari Sagil, Kampung Sagil Parit 3 Tangkak, dekat Muar, semalam.


MUAR 31 Mei - Sultan Johor, Sultan Iskandar Ismail akan menyempurnakan majlis pengisytiharan Ledang sebagai sebuah daerah baru di negeri berkenaan pada 9 Jun ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman ketika mengumumkan perkara itu berkata, segala persiapan untuk menyambut majlis pengisytiharan di Dataran Ledang, Tangkak, dekat sini sedang giat dijalankan.

"Dengan upacara pengisytiharan bersejarah itu, maka Johor secara rasmi akan mempunyai sebuah lagi daerah baru iaitu daerah Ledang," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pelancaran Kelab Al-Ansor peringkat Parlimen Ledang di Dataran Bestari Sagil, Kampung Sagil Parit 3, Tangkak, dekat sini hari ini.

Kerajaan negeri pada tahun lalu mengumumkan langkah untuk menaik taraf Tangkak menjadi sebuah daerah yang dikenali sebagai Daerah Ledang yang kini mempunyai sejumlah 58,501 penduduk.

Selain Tangkak, Abdul Ghani turut mengumumkan bahawa Kulai juga akan dinaik taraf menjadi daerah penuh dan dengan pengisytiharan kedua-dua daerah baru tersebut, Johor bakal mempunyai 10 buah daerah.

Lapan buah daerah sedia ada ialah Johor Bahru, Kota Tinggi, Kluang, Mersing, Pontian, Batu Pahat, Segamat dan Muar.

Abdul Ghani berkata, kewujudan dua daerah baru itu juga dapat memastikan perkhidmatan kepada rakyat ditingkatkan serta perkembangan ekonomi dan kecekapan jabatan kerajaan mampu dimantapkan lagi.

"Antara langkah yang akan dilaksanakan ialah kaedah pentadbiran dipermudahkan, tempoh masa meluluskan permohonan disingkatkan dan ketelusan diwujudkan di semua peringkat," katanya.

Sementara itu Pegawai Daerah Ledang, Asmail Abdul Kadir ketika ditemui pada majlis itu memberitahu, tiga acara penting akan berlangsung menjelang sambutan majlis pengisytiharan daerah baru itu mulai 8 Jun ini.

Katanya, acara pertama yang akan diadakan ialah majlis tahlil yang akan berlangsung di Masjid Jamek Tangkak, bermula selepas solat Maghrib.

"Majlis pengisytiharan Tangkak sebagai daerah Ledang pula akan berlangsung pada pukul 11 pagi keesokannya dan ia akan disempurnakan oleh Sultan Johor di Dataran Ledang," katanya.

Tambah beliau, pada sebelah malam, satu majlis sambutan yang akan dipenuhi dengan persembahan kebudayaan dan seni akan berlangsung juga di dataran tersebut.

Sumber: Mingguan Malaysia 1 Jun 2008 (www.utusan.com.my)

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Salam, Alhamdulillah...semoga daerah ledang lebih maju seiring dengan daerah2 lain di negeri johor yang tercinta, serta diberkati ALLAH hendaknya

Wassalam

Fahd
Felda Palong timur 2
Segamat
koyok_lada@yahoo.com