TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

21 April 2013

ANALISIS PRU-13: JANGAN BERI SATU UNDI PUN KEPADA PENGKHIANAT PARTI


NAMPAK sangat mereka ada agenda sendiri dan tak sayang parti! Demikian luah seorang rakan ahli UMNO yang bukan sahaja terkejut, malah marah dengan tindakan beberapa pemimpin yang 'mengkhianati' perjuangan parti apabila bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) ini.

Memang hak bertanding adalah hak individu di sebuah negara yang mengamal konsep demokrasi, namun persoalannya di manakah semangat perjuangan dan ikrar taat setia yang dilaung-laungkan sebelum ini.

Kononnya semua pemimpin dan ahli bersatu hati akan menyokong siapa sahaja calon yang diputuskan oleh pucuk pimpinan parti!

Tetaapi itu hanya janji 'terpaksa' segelintir daripada golongan untuk menyembunyikan agenda peribadi masing-masing sebelum hari penamaan calon berlangsung. Apabila nama tidak dicalonkan, mulalah meragam, malah tidak kurang mengugut tidak mahu membantu calon yang terpilih.

Inikah semangat UMNO? Inikah semangat Barisan Nasional (BN)? Jawapannya - ada dalam minda masing-masing.

Apabila hari penamaan calon semalam, timbullah belang sebenar masing-masing. Jawapan mudah yang diberikan - "Saya bertanding atas desakan akar umbi". 

Tak usahlah gunakan alasan 'lapuk' yang semua orang tahu bahawa memamg ahli parti yang bertanding sebagai calon Bebas kerana nama mereka tidak dicalonkan orang pucuk pimpinan.

Nyata tindakan UMNO memecat segelintir golongan ini dipuji kerana mereka bukan sahaja mengkhianti semangat perjuangan UMNO dan BN, malah merencatkan kelancaran jentera parti untuk mencapai kemenangan.

Senario yang 'melanda' Johor apabila empat ahli UMNO bertindak menikam belakang dengan bertanding sebagai calon Bebas harus ditangani secara tegas. 

Empat calon ini ialah Timbalan Ketua UMNO Cawangan Felda Adela, Azaman Johari bertanding menentang Datuk Seri Azalina Othman Said di Parlimen Pengerang; bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Ledang, Mohd. Zan Abu; dan Ketua UMNO Cawangan Kampung Parit Rabu, Yunus Mustakim, kedua-duanya bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir mencabar calon BN, M. Asojan dan calon Pas, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed.

Seorang lagi ialah Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Bakri, Md. Ghazali Salamun yang bertanding di DUN Bukit Naning menentang calon BN, Datuk Saipolbahari Suib dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Abdul Aziz Muhammad. 

Langkah drastik yang perlu diambil - jangan beri sokongan kepada mereka. Dalam erti analogi mudah, jangan beri satu pun undi kepada golongan ini. Pastikan mereka terjelepok sehingga duit pertaruhan pun hangus apabila tidak mendapat banyak undi.

Pada waktu itu, baru mereka sedar 'adakah benar bertanding atas desakan akar umbi' atau kerana kecewa dan tindakan protes kerana nama tidak dicalonkan.

Biar mereka sedar, tindakan menongkah arus dan ingkar arahan pasti membawa kemudaratan berpanjangan apabila keahlian dipecat mungkin seumur hidup dan andai sudah insaf sekali pun, bukan mudah untuk kembali menjadi ahli parti.

Sekali mengkhianati, selamanya merana! - UTUSAN ONLINE

(Penulis adalah Ketua Biro Utusan di Johor)

SUMBER: UTUSAN ONLINE, 21 APRIL 2013

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

di bukan pengkhianat, dia tak patut di perambat. dia boleh jadi si jebat...bukan penderhaka...tentu ade sebab. saja tok ghani malas nak tau sebab tu..apa pulak nak di hukum. kira dia da keluar umno la tu...tak perlu la hukum lagi...kalau dia menang nanti...siapa ketengi...