PENGUNJUNG SETIA

07 April 2013

PENGANTIN BARU MAUT

Wartawan Sinar Harian
Pengantin baru maut
Keadaan kereta Proton Waja remuk selepas terbabit dalam kemalangan yang mengorbankan tiga penumpang, malam kelmarin.
 
Pengantin baru maut
Kumar dan Rita ketika pendaftaran perkahwinan mereka di Singapura dua minggu lalu.
 
LEDANG – Pasangan pengantin baru yang melangsungkan perkahwinan dua minggu lalu antara tiga yang terbunuh selepas terbabit dalam nahas  melibatkan sebuah kereta, lori dan bas di kilometer (KM) 162.5 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara di sini, malam kelmarin.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 10.45 malam itu turut mengorbankan seorang lagi penumpang kereta terbabit manakala seorang daripada dua yang terselamat dilaporkan kritikal dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tangkak.

Mereka yang terbunuh ialah Kumar Arunasalam, 40, dari Kampung Serani, Melaka, isterinya, Rita Maria Gilret, 42, merupakan warganegara Singapura dan Carrieanne Fransica Dicosta, 22, berasal dari Kampung Portugis, Melaka.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris berkata, mangsa yang terkorban itu adalah penumpang tempat duduk belakang, manakala yang terselamat ialah penumpang hadapan yang dikenali sebagai Brian Jeremieh Sta Mariah, 21, dari Kampung Portugis, Melaka, sementara pemandu kereta Proton Waja, Pang Yun, 59, dari Tangkak, Jaya, kritikal.

Menurutnya, kesemua mangsa dipercayai dalam perjalanan dari Singapura untuk pulang ke kampung halamannya di Melaka bagi membuat persiapan persandingan Kumar dan Rita pada 23 Mei depan.

“Kejadian dipercayai berlaku apabila kereta terbabit hilang kawalan lalu merempuh belakang sebuah lori seberat satu tan menyebabkan kereta itu berpusing sebelum terbabas ke kiri laluan lebuh raya.

“Malangnya sebuah bas persiaran dari arah yang sama tidak sempat mengelak lalu merempuh belakang kereta mangsa,” katanya kepada Sinar Harian.

Harun berkata, akibat rempuhan kuat itu kereta dinaiki mangsa remuk teruk dan semua mangsa tersepit di tempat duduk masing-masing.

Beliau berkata, mangsa yang terbunuh itu mati serta merta di tempat kejadian kerana kecederaan parah di kepala dan anggota badan serta tersepit di tempat duduk belakang.

“Kesemua mangsa yang tersepit dikeluarkan oleh tujuh anggota Balai Bomba dan Penyelamat Tangkak dibantu enam anggota bomba dari Muar dalam masa 30 minit.

“Mayat mangsa kemudiannya di bawa ke rumah mayat Hospital Tangkak untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga masing-masing,” katanya.

Kata Harun lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

SUMBER: SINAR HARIAN, 07 APRIL 2013

Tiada ulasan: