TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

07 April 2013

PENGANTIN BAHARU MAUT

LEDANG 6 April - Tiga termasuk sepasang pengantin yang baharu melangsungkan perkahwinan dua minggu lalu maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan ngeri di Kilometer 162.5, Lebuh Raya Utara-Selatan dekat sini malam tadi.

Pasangan pengantin terbunuh itu ialah A. Kumar, 34, dari Kampung Serani, Melaka, dan isterinya, Rita Maria Gilrelt, 42, rakyat Singapura.

Turut maut rakan Kumar, Carrieanne Fransica Dicosta, 22, berasal dari Kampung Portugis, Melaka. Ketiga-tiga mangsa berada di tempat duduk penumpang belakang kereta Proton Waja terbabit dalam kejadian kira-kira pukul 10.45 malam.

Mangsa yang parah ialah pemandu kereta itu iaitu Pang Yun, 59, dari Tangkak Jaya manakala teman lelaki Carrieanne, Brian Jeremieh Sta Mariah, 21, dari Kampung Portugis yang berada di sebelah Pang Yun pula hanya cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Ledang, Supritendan Harun Idris berkata, kesemua mangsa dipercayai dalam perjalanan dari Singapura ke kampung halaman di Melaka bagi membuat persiapan persandingan Kumar dan Rita pada 23 Mei depan.

“Kejadian dipercayai berlaku apabila kereta terbabit hilang kawalan setibanya di lokasi tersebut lalu merempuh belakang sebuah lori seberat satu tan.

“Kereta itu kemudian berpusing sebelum terbabas ke kiri laluan lebuh raya. Malangnya sebuah bas persiaran dari arah yang sama tidak sempat mengelak lalu merempuh belakang kereta mangsa.

“Akibat rempuhan itu, kereta mangsa remuk dan kesemua mangsa tersepit di tempat duduk masing-masing," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, tiga penumpang yang berada di tempat duduk belakang kereta itu mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan anggota badan.

Tambahnya, dua buah jentera dan 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Ledang dan Muar dikejarkan ke tempat kejadian dan kesemua mangsa dikeluarkan dalam masa kira-kira 30 minit.

“Mayat mangsa dibawa ke rumah mayat Hospital Tangkak untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga masing-masing. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Harun memberitahu, pemandu lori seberat satu tan serta pemandu bas persiaran yang ketika itu tidak membawa penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan.

SUMBER: MINGGUAN MALAYSIA, 07 APRIL 2013

Tiada ulasan: