PENGUNJUNG SETIA

05 April 2013

PRU-13: ABDUL GHANI ENGGAN ULAS SPEKULASI

LEDANG 5 April - Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman hari ini enggan memberikan sebarang ulasan berhubung spekulasi bahawa beliau akan dicalonkan di kerusi Parlimen Gelang Patah bagi menentang Penasihat DAP, Lim Kit Siang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) ini.

Ketika ditemui sebelum menunaikan solat Jumaat di Masjid Batu 18, Sengkang, dekat sini hari ini, Abdul Ghani yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri tidak mahu menjawab soalan daripada wartawan.

"Tak mau, tak mau...nantilah," katanya ringkas sambil berjalan meninggalkan pihak media sebelum masuk menunaikan solat Jumaat di masjid tersebut dan difahamkan selepas itu beliau pulang semula ke Johor Bahru.
Abdul Ghani diminta mengulas laporan akhbar The Star hari ini yang melaporkan beliau akan dicalonkan di Parlimen Gelang Patah bagi menghadapi Kit Siang.

Sementara itu, Presiden MCA, Datuk Dr. Chua Soi Lek berkata, persoalan sama ada Abdul Ghani akan diletakkan sebagai calon untuk mencabar Kit Siang masih dipertimbang dan akan dibincangkan oleh komponen parti BN.

"Ia adalah suatu pertimbangan, tetapi ia belum dibincangkan secara terperinci. Setakat hari ini, sama ada ia adalah ura-ura, khabar angin atau benar, kita belum tahu lagi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas bersama-sama Ketua Bahagian MCA Gelang Patah, Jason Teoh beramah mesra dengan masyarakat di Pasar Awam Taman Ungku Tun Aminah, Skudai, di Johor Bahru.

Sebelum ini, Soi Lek juga dilaporkan ada menawarkan diri untuk bertanding di Gelang Patah bagi berhadapan dengan ahli politik veteran DAP itu. - UTUSAN ONLINE

SUMBER: UTUSAN ONLINE, 05 APRIL 2013

Tiada ulasan: