TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

03 April 2013

TNB SALUR RM40,000 BAIK PULIH RUMAH

LEDANG 2 April - Tenaga Nasional Berhad (TNB) Johor tahun ini memperuntukkan hampir RM40,000 untuk Projek Mesra Rakyat (PMR) melibatkan usaha membaik pulih dua buah rumah keluarga miskin kaum Cina dan India di luar bandar.

Pengurus Besarnya, Datuk Ir. Mohd. Aminuddin Mohd. Amin berkata, tanggungjawab sosial korporat TNB itu menyasarkan kediaman golongan kurang bernasib baik antaranya golongan orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal, warga emas dan penduduk miskin.

"Projek pertama melibatkan rumah di Kampung Batu 63 di Pontian minggu lalu yang dimiliki Tan Ah Ngo dengan kos kira-kira RM10,000 hingga RM20,000.

"Hari ini adalah projek kedua melibatkan kos hampir sama dengan menukar atap, membina tembok menghalang daripada tanah runtuh dan baiki mana-mana bahagian rosak," katanya ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Rumah PMR Peringkat Negeri 2013 di Kampung Termil, Sagil, dekat sini hari ini.

Penyerahan rumah itu disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir, M. Asojan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri kepada pemiliknya, K. Jeyapal.

Mohd. Aminuddin berkata, pemilihan untuk projek tersebut dilakukan ADUN atau Ahli Parlimen di kawasan terbabit melalui kriteria tertentu sebelum kerja-kerja baik pulih dengan modal awal sebanyak RM10,000 dimulakan.

Beliau berharap, Jeyapal akan menjalani kehidupan lebih selesa kerana sebelum ini terpaksa hidup dalam rumah yang hampir roboh kerana sudah uzur dan diancam kejadian tanah runtuh setiap kali hujan lebat.

Sementara itu, Asojan berkata, pihaknya berterima kasih atas keprihatinan TNB dan berharap syarikat korporat lain mencontohi usaha murni tersebut bagi meringankan beban golongan yang tidak mampu atau kurang bernasib baik.

Beliau turut berharap lebih banyak rumah dalam kawasan yang diwakilinya akan terpilih pada masa hadapan.

Dalam pada itu, Jeyapal, 62, melahirkan rasa terharu selepas diberitahu rumahnya terpilih dalam projek tersebut dan merakamkan terima kasih kepada TNB dan kerajaan atas keprihatinan tersebut.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 03 APRIL 2013

Tiada ulasan: