PENGUNJUNG SETIA

20 April 2013

KAIN RENTANG SERU PENDUDUK BERSATU DALAM PRU-13

HASMAH Adam (kanan) bersama anaknya, Siti Haizah Zamri membaca pemidang yang mengandungi kata-kata nasihat supaya masyarakat mengekalkan permuafakatan ketika PRU-13 di Kampung Hang Tuah dekat Sagil, Ledang, Johor semalam. 
 
LEDANG 19 April - "Tak kira apa yang anda sokong (BN@PR) jangan sampai tidak bertegur sapa dan saling bermusuhan, kita semua sekampung. Kekalkan muafakat...ini negara demokrasi!"

Demikian ayat yang tertera di sehelai kain rentang di sebatang jalan di Kampung Hang Tuah yang menghubungkan dua lagi kampung bersebelahan iaitu Kampung Melepang dan Kampung Termil di Sagil dekat sini, yang dipasang sejak sebulan lalu.

Peringatan itu ditujukan kepada 883 penduduk di tiga kampung berkenaan berikutan bahang Pilihan Raya Umum Ke-13 semakin hangat dengan 'perang' bendera dan kain rentang boleh dilihat di mana-mana.

Ketua Kampung Hang Tuah, Melepang dan Termil, Basri Siron berkata, kain rentang itu dipasang penduduk kampung bagi mengingatkan penyokong Barisan Nasional (BN) atau pakatan pembangkang tidak bermusuhan.

Beliau berkata, walaupun majoriti penduduk di tiga kampung itu penyokong kuat BN dan hanya terdapat 10 penyokong Pas, tetapi peringatan tersebut perlu supaya tidak ada pihak yang terlalu ghairah berpolitik sehingga menjejaskan keharmonian di kawasan berkenaan.

"Kita mahu suasana aman dan keharmonian antara semua dapat dikekalkan seperti sebelum PRU-13 tanpa dipengaruhi atau dihasut mana-mana pihak. Selaku ketua kampung saya tidak menghalang mana-mana pihak berpolitik, itu hak mereka.

"Namun, perlu dilakukan secara baik. Jangan mencaci sesama kita hanya kerana terlalu taksub dengan parti politik. Perkara ini sering saya ingatkan setiap kali singgah di warung-warung kopi," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau bersyukur kerana tidak ada unsur-unsur negatif berlaku di kampung-kampung itu seperti solat dua imam atau mengkafirkan orang lain kerana budaya politik di Johor yang sederhana.

Penduduk, Hasmah Adam, 48, mengakui pemasangan kain rentang itu tepat pada masanya walaupun penduduk kampung berkenaan tidak mempunyai masalah sesama mereka sebelum ini.

Bagi Siti Haizah Zamri, 22, pula, dia berharap pilihan raya umum akan datang berjalan secara aman dan lancar kerana perebutan kerusi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir kali ini adalah antara yang terhangat di negeri ini.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 20 APRIL 2013

Tiada ulasan: