PENGUNJUNG SETIA

03 April 2013

USAH PASANG BENDERA POLITIK PADA ASET TNB

LEDANG 2 April - Tenaga Nasional Berhad (TNB) Johor memberi amaran kepada pihak tertentu agar tidak memasang atau meletakkan bendera parti politik pada tiang lampu atau pencawang elektrik syarikat terbabit kerana boleh mendatangkan masalah dalam aspek keselamatan.

Pengurus Besar TNB negeri, Datuk Ir. Mohd. Aminuddin Mohd. Amin berkata, pihaknya tidak meluluskan sebarang permohonan memasang bendera pada pencawang dan tiang lampu milik TNB.

"Pihak TNB Johor sudah menerima banyak aduan yang memaklumkan berlakunya perkara berkenaan terutama di Batu Pahat, Pontian dan Ulu Tiram.

"Kita sebenarnya tidak ada kuasa menghalang mereka dan tanggungjawab itu diberikan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana tindakan memasang bendera pada tiang lampu dan pencawang adalah amat berbahaya," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Rumah Projek Mesra Rakyat (PMR) Peringkat Negeri 2013 di Kampung Termil, Sagil, dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir, M. Asojan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri.

Aminuddin menjelaskan, pihaknya juga boleh menanggalkan bendera yang dipasang dan menegaskan tidak ada sebarang bendera atau poster boleh dipasang atau dilekatkan pada aset TNB di seluruh negeri.

Katanya, terdapat tiang lampu yang tidak dimiliki oleh TNB seperti tiang lampu hiasan di bandar-bandar atau pekan digantung dengan bendera dan perbuatan itu boleh dikenakan tindakan oleh PBT.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 03 APRIL 2013

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Parti bn buat macam harta mak bapak dia punya buat2 tak tau ker der?