TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

25 April 2013

PEMBANGKANG MAIN SENTIMEN PERKAUMAN, AGAMA - ASOJAN

LEDANG 24 April - Setiausaha MIC negeri, M. Asojan yang berdepan tentangan empat penjuru di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir kesal kerana ada calon yang meniupkan api perkauman dan memainkan sentimen agama dalam usaha meraih undi.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri yang mempertahankan kerusi itu bagi penggal ketiga berkata, keadaan itu akan menyebabkan 66 peratus umat Islam di kawasan tersebut berpecah-belah.

"Ini sangat berbahaya bukan sahaja kepada umat Islam tetapi juga perpaduan antara kaum kerana akan timbul kebencian.

"Pengundi DUN Gambir kena ingat, kita dalam BN tidak pernah mempersoal siapa Perdana Menteri, Islam sebagai agama rasmi, kedaulatan Raja-raja Melayu atau apa sahaja termaktub dalam Perlembagaan tetapi pembangkang sudah sentuh semua perkara ini," katanya ketika ditemui semasa melakukan tinjauan mesra di Bandar Baharu Bukit Gambir dekat sini hari ini.

Selain berhadapan Pesuruhjaya Pas Johor, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed Mahfodz, Asojan akan turut berdepan dengan dua calon Bebas iaitu bekas Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ledang, Mohd. Zan Abu dan bekas guru, Yunos Mustakim.

Menurutnya, terlalu banyak pembangunan dan kemajuan sudah dibawa kerajaan dan pengundi dapat melihat sendiri segala usaha bagi menaik taraf hidup mereka terutama dari sebuah pekan kepada satu bandar baharu.

"Mercu tanda seperti Bangunan Pasar Tani Bukit Gambir, Balai Bomba Bukit Gambir dan Plaza Tol Bukit Gambir oleh Plus Expressways Bhd. yang akan siap tidak lama lagi dengan kos RM80 juta, ini semua dibangunkan di bawah siapa? Adakah ini Asojan yang buat? Tidak! Ini mampu dilakukan di bawah kerajaan Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Jadi jangan lihat pada individu tetapi pasukan yang saya wakili. Bukan saya memperkecilkan calon lain tetapi pengundi harus membuat pilihan yang boleh memberi jaminan kesejahteraan dan kemakmuran kepada negara," katanya.

Dalam pada itu, beliau dan komponen-komponen BN Bahagian Ledang berikrar akan memastikan Parlimen berkenaan termasuk DUN Gambir, Serom dan Tangkak kekal di bawah BN dan menghadiahkan kemenangan itu kepada Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman.

"Apabila bertemu jentera parti-parti komponen di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) kita selalu beritahu mereka bahawa Abdul Ghani bukan tinggalkan kita tetapi pergi untuk berjuang sebagai wira negara di Gelang Patah," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 25 APRIL 2013

Tiada ulasan: