PENGUNJUNG SETIA

02 April 2013

GUNA RANGSANGAN LATEKS TINGKAT PRODUKTIVITI GETAH

LEDANG 1 April - Pekebun kecil terutamanya golongan muda yang mewarisi kebun getah daripada keluarga mereka digesa menggunakan bahan rangsangan lateks yang mampu meningkatkan produktiviti sehingga 47 peratus.

Ahli Parlimen Ledang, Ir. Hamim Samuri berkata, kaedah itu yang diperkenalkan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) di seluruh negara dapat membantu mereka meningkatkan pendapatan bulanan.

"Penggunaan bahan rangsangan lateks ini adalah satu kaedah untuk meningkatkan penghasilan penorehan pokok getah dengan melanjutkan tempoh pengaliran lateks.

"Melalui sistem torehan kekerapan rendah, pekebun kecil khususnya golongan muda boleh menoreh sekali setiap tiga hari iaitu sehari menoreh dan dua hari rehat apabila bahan rangsangan lateks digunakan," katanya semasa merasmikan Kelab Generasi Muda RISDA, Sarapan Kasihi Generasi Muda dan Kempen Penggunaan Bahan Rangsangan Lateks 2013 di Kampung Parit Haji Idris, Bukit Gambir, dekat sini semalam.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah RISDA negeri, Mohd. Soel Hussin; Pegawai RISDA Daerah Ledang/Muar, Mohamad Arif Ismail dan Ketua Kampung Parit Haji Idris, Ismail Sitam.

Dalam majlis itu, Hamim turut menyampaikan surat kelulusan bantuan baja getah kepada empat penerima dan dua orang pula dipilih sebagai penerima Program Bantuan Rumah (Pemulihan) daripada RISDA.

Beliau berkata, kerajaan banyak membantu pekebun kecil getah meningkatkan pendapatan bermula dengan penanaman pokok sehingga mengeluarkan hasil selain khidmat nasihat.

Katanya, pekebun kecil turut digalakkan menyertai industri hiliran seperti pemerosesan makanan dan jahitan yang dapat menambah pendapatan mereka.

"Tidak ada sebab rakyat untuk mengeluh kerana kerajaan terus memberi bantuan kepada semua, khususnya pekebun kecil dalam meningkatkan sumber pendapatan," katanya.

Sementara itu, Mohamad Arif berkata, RISDA sentiasa memberi galakan kepada pekebun kecil getah untuk meningkatkan produktiviti dengan melaksanakan sistem Amalan Pertanian Baik (GAP) yang meliputi cara penanaman dan penyelenggaraan bagi meningkatkan hasil mereka.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 02 APRIL 2013

Tiada ulasan: