PENGUNJUNG SETIA

02 April 2013

PEKEBUN ALAMI KECEDERAAN MISTERI

Wartawan Sinar Harian
LEDANG – Polis meminta kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat berhubung kejadian menimpa seorang pekebun yang cedera secara tiba-tiba semasa dalam perjalanan ke kebunnya di Batu 16 Sengkang, Bukit Gambir, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris berkata, siasatan terperinci kini sedang dijalankan termasuk menghantar pakaian mangsa ke Jabatan Forensik bagi mencari bukti dan mengenal pasti punca kecederaan dialaminya.

“Kita minta orang ramai untuk tampil membantu siasatan. Mangsa berusia 30an mengalami kecederaan pada bahagian kanan belakang badan sehingga menembusi perutnya.

“Kita masih tidak dapat mengenal pasti punca kecederaan itu kerana tidak menemui sebarang bukti pada badan mangsa dan masih menunggu laporan daripada pihak hospital,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Harun berkata, pihaknya belum mendapat maklumat lengkap kejadian disebabkan keadaan mangsa yang masih trauma dan tidak bersedia untuk disoal siasat.

Katanya, kejadian kira-kira jam 5 petang itu berlaku ketika mangsa sendirian menunggang motosikal dari rumah ke kebun buah jambu miliknya.

“Dia menyedari kejadian itu apabila merasai darah mengalir pada tubuh serta menemui kesan lubang di perutnya.

“Kita dimaklumkan, sejurus selepas kejadian itu mangsa pulang ke rumah mengambil keretanya dan pergi ke klinik berhampiran,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, susulan kecederaan serius dialaminya, mangsa dengan bantuan rakannya dihantar ke sebuah hospital swasta di Melaka, tetapi terpaksa dipindahkan ke Hospital Besar Melaka.

“Mangsa masih dirawat di hospital berkenaan dan keadaannya dilaporkan stabil,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN, 02 APRIL 2013

Tiada ulasan: