TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

04 April 2013

PARLIMEN KE-12 DIBUBAR

Najib Tun Razak bersama Muhyiddin Yassin bersalaman dengan barisan menteri Kabinet setelah mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-13 di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, semalam. - BERNAMA 
 
PUTRAJAYA 3 April - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembubaran Parlimen Ke-12 selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) berkuat kuasa hari ini.

Pengumuman yang dibuat selepas mesyuarat Kabinet itu disiarkan secara langsung oleh saluran televisyen dan radio utama pada pukul 11.30 pagi. 

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan semua anggota Jemaah Menteri yang lain hadir pada pengumuman di Pejabat Perdana Menteri itu dengan masing-masing memakai sut hitam dan bertali leher merah.

Mengambil sempena genap empat tahun beliau menggalas tanggungjawab serta amanah sebagai Perdana Menteri, Najib menurunkan peringatan serta nasihat satu per satu dalam mesej pembubaran itu. 

Beliau berkata, ketua-ketua kerajaan negeri dinasihatkan menghadap ketua-ketua negeri bagi mendapat perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri masing-masing agar PRU-13 dapat diselaraskan serentak di seluruh negara.

''Saya ingin memaklumkan kepada rakyat Malaysia bahawa pada pagi ini saya telah menghadap Yang di-Pertuan Agong dan menyembah warkah kepada Baginda memohon perkenan supaya Parlimen ke-12 dibubarkan pada hari ini Rabu 3 April 2013.

''Sehubungan itu, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, baginda telah pun memperkenankan bagi Parlimen Ke-12 dibubarkan berkuatkuasa hari ini," katanya di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Najib seterusnya menarik perhatian rakyat dengan mengimbas semula tarikh 3 April 2009 sehingga hari ini yang genap empat tahun beliau mengangkat sumpah untuk memikul amanah serta tanggungjawab sebagai Perdana Menteri.

Sepanjang tempoh tersebut, katanya, beliau bersama Timbalan Perdana Menteri, anggota Jemaah Menteri dan anggota pentadbiran lain dengan segala ikhtiar dan upaya, mencetus dan melaksanakan pembaharuan serta perubahan berpaksikan kepada falsafah 1Malaysia, Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan serta dipandu oleh Dasar Transformasi Nasional.

Beliau berkata, kerajaan yang ada hari ini adalah kerajaan yang bertanggungjawab meletakkan kepentingan rakyat di atas segala-galanya kerana apabila berjanji menepatinya dan apabila diberi amanah akan menjunjung dan melaksanakannya, bukan bersikap menanam tebu di bibir.

''Semuanya bukti komitmen kami mampu dinilai serta diukur daripada prestasi dan track rekod kami sepanjang empat tahun yang lalu, pembubaran ini akan membuka laluan kepada bermulanya proses PRU-13 untuk negara sejak tahun 1959 iaitu pilihan raya umum pertama selepas merdeka," katanya.

Menurut Najib, sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan, kuasa mutlak memilih kerajaan berada di tangan rakyat.

Katanya, sejarah telah menunjukkan bahawa kebugaran demokrasi berjaya menyediakan asas-asas yang subur untuk kestabilan dan keamanan nasional yang dinikmati warga negara ini selama lebih lima dekad.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 04 APRIL 2013

Tiada ulasan: