TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

06 April 2013

GHANI LAWAN KIT SIANG DI GELANG PATAH?

JOHOR BAHRU 5 April - Kerusi Parlimen Gelang Patah dijangka menyaksikan pertembungan dua tokoh politik negara berikutan ura-ura bahawa Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman akan menentang Penasihat DAP, Lim Kit Siang dalam pilihan raya umum kali ini.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pasir Gudang, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, walaupun perkara itu belum dapat dipastikan lagi, BN perlu menampilkan calon boleh menang di Gelang Patah kerana kerusi itu merupakan antara kerusi panas di negeri ini.

"Kita tidak tahu sama ada keputusan ini adalah keputusan pucuk pimpinan BN atau sekadar andaian. Benar atau tidak, saya tidak dapat pastikan. 

"Majoriti pengundi kawasan Gelang Patah terdiri daripada masyarakat Cina," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini melaporkan kemungkinan Abdul Ghani bertanding di kerusi Parlimen Gelang Patah dan bakal menentang Kit Siang yang telah diumumkan bertanding untuk merebut kerusi tersebut.

Abdul Ghani merupakan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Serom dan menjadi Menteri Besar selama tiga penggal.

Mohamed Khaled yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang berkata, perkara tersebut perlu dilihat secara teliti dan sebarang keputusan yang dibuat diharap tidak akan menjejaskan momentum persediaan BN di kawasan terbabit.

Abdul Ghani pula ketika ditemui sebelum menunaikan solat Jumaat di Masjid Batu 18, Sengkang di Parlimen Ledang, enggan mengesahkan atau menafikan perkara berkenaan.

Beliau yang merupakan Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri tidak mahu menjawab soalan daripada wartawan, sebaliknya hanya berkata: "Tak mau, tak mau (komen)... nantilah."

Dalam hal itu, Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek pula berkata, persoalan sama ada Abdul Ghani akan bertanding di Parlimen Gelang Patah menentang Kit Siang masih dipertimbangkan dan dibincangkan oleh komponen parti BN.

"Soal pencalonan Abdul Ghani di Gelang Patah adalah suatu pertimbangan, belum dibincangkan secara terperinci.

"Setakat hari ini, sama ada itu adalah ura-ura, khabar angin atau benar, kita belum tahu lagi," katanya selepas bersama-sama Ketua Bahagian MCA Gelang Patah, Jason Teoh beramah mesra dengan masyarakat di Pasar Awam Taman Ungku Tun Aminah, Skudai hari ini.

Soi Lek berkata, Abdul Ghani memiliki rekod perkhidmatan yang cemerlang dan perkara itu tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak, selain kepimpinannya yang diterima oleh semua kaum di negeri ini.

Ditanya kemungkinan pertukaran kerusi jika Menteri Besar bertanding di Parlimen Gelang Patah memandangkan kerusi itu milik MCA, beliau berkata, perkara tersebut tidak timbul kerana yang penting BN menjadi parti pemerintah di peringkat negeri dan Pusat.

Ketua UMNO Bahagian Gelang Patah, Datuk Abdul Aziz Sapian pula berkata, sokongan penuh akan diberikan kepada sesiapa sahaja calon BN yang bertanding di Gelang Patah kerana itu merupakan keputusan pucuk pimpinan parti.

"Matlamat kita adalah untuk mengekalkan kerusi ini dan pada masa sama ingin 'kuburkan' Kit Siang di Gelang Patah dan meneruskan pembangunan untuk masyarakat di kawasan ini," katanya.

Ketua Penerangan UMNO negeri, Datuk Samsol Bari Jamali juga senada dengan Abdul Aziz dalam hal itu.
"Kita semua akan bersatu bagi menamatkan keangkuhan Kit Siang. Sekiranya benar Menteri Besar akan menentang Kit Siang, maka akan ada giant killer atau monster killer di Johor," jelas beliau.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 06 APRIL 2013

Tiada ulasan: