PENGUNJUNG SETIA

20 November 2008

BEBERAPA KAWASAN DI JOHOR DILANDA BANJIR

KANAK-KANAK bermain banjir di hadapan sebuah rumah penduduk di Kampung Sri Ma'amor, Tangkak.

JOHOR BAHRU: Beberapa kawasan di negeri ini mula dilanda banjir selepas mengalami keadaan cuaca tidak menentu sejak kelmarin, dengan hujan lebat serta angin kencang dan ditambah faktor air pasang besar menyebabkan beberapa kawasan dinaiki air.

Antara kawasan yang mula terjejas ialah di Tangkak, Muar apabila seramai 268 orang daripada 58 keluarga di Kampung Sri Maamor, dekat sini, terpaksa dipindahkan ke dua pusat pemindahan selepas air Sungai Tangkak melimpah ke rumah penduduk berikutan hujan lebat dua jam petang kelmarin.

Semua penduduk dipindahkan ke Balai Raya Kampung Sri Maamor dan Surau At Taqwa Sri Maamor Darat, sejak jam jam 6.30 petang kelmarin.

Walaupun air mulai surut mulai awal pagi semalam, namun jumlah mereka dipindahkan kekal sebagai langkah berjaga-jaga kemungkinan berlaku lagi hujan lebat yang akan menyebabkan peningkatan paras air dengan mendadak.

Selain itu, anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPA3) dengan dilengkapi kemudahan bot turut ditempatkan di tempat kejadian sebagai langkah persediaan operasi menyelamat, selain pasukan polis dan bomba turut membuat pemantauan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tangkak, Goh Tee Tee dan Pegawai Daerah Ledang, Asmail A Kadir turut melawat mangsa yang ditempatkan di kedua-dua pusat pemindahan itu.

Ketua Kampung Sri Maamor, Samigan Ahmad, berkata hujan lebat mulai kira-kira jam 3.30 petang hingga jam 6 petang, menyebabkan air meningkat dengan mendadak sehingga menyebabkan rumah penduduk ditenggelami air sehingga ke paras 0.9 meter.

Katanya, keadaan itu menyebabkan pihaknya terpaksa mengarahkan penduduk terutama yang tinggal di tepi Sungai Tangkak supaya berpindah sebagai langkah keselamatan.

"Penduduk mula dipindahkan mulai jam 6.30 petang dan sehingga tengah malam jumlah penduduk meningkat kepada 268 orang daripada 58 keluarga yang terpaksa bermalam di dua pusat pemindahan," katanya.

IDRUS Khamis, 24, sambil dibantu adiknya Zubaidah, 19, mengumpul beberapa barang yang rosak akibat dilanda banjir lewat malam semalam, di Kampung Sri Ma'amor, Tangkak.

Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Abdul Latiff Yusof ketika dihubungi Berita Harian menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa bagi mengelakkan sebarang tragedi.

SUMBER: BERITA HARIAN, 20 NOVEMBER 2008

1 ulasan:

Unknown berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.