|
|
Malah menurut Mohd. selaku Ketua Pegawai Eksekutif Hijrah Toyibbah Network Sdn. Bhd. (HTNSB) yang beroperasi di Tangkak, Johor, pihaknya juga merancang melahirkan seberapa ramai usahawan Muslim tulen sesuai dengan moto ‘Satu Keluarga Satu Penapis Air’.
Yakin beliau, hasrat ini mampu direalisasikan menerusi penyediaan beberapa pilihan pakej, apatah lagi HTNSB mensasarkan 500 stokis di seluruh Malaysia menjelang akhir tahun 2008.
Ikuti temu bual wartawan, ZUARIDA MOHYIN dan jurufoto, ZAKARIA IDRIS bersama Mohd. dalam satu pertemuan, baru-baru ini.
MEGA: Bagaimanakah datangnya idea untuk menghasilkan produk Penapis Air Hijrah Aura Ion Beralkali?
MOHD.: Idea ini datang setelah melihat pelbagai penapis air di pasaran terlalu tinggi harganya hingga mencecah RM2,000. Sungguhpun ada di antaranya menyediakan skim bayaran ansuran, ia boleh dikira agak membebankan pelanggan. Apabila tamat bayaran, harga menjadi sekali ganda dan berunsur faedah atau riba. Keuntungan syarikat tersebut berlipat kali ganda tanpa memberi pulangan yang tinggi kepada usahawan.
Oleh itu, kehadiran produk penapis air Hijrah ini diharap dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi pelanggan khususnya orang Islam. Penapis air kami dijual pada harga RM1,523 sama ada tunai atau kredit.
Kami menyediakan bayaran ansuran dengan kadar yang dikira berpatutan iaitu pelanggan hanya perlu membayar RM65 sebulan selama 23 bulan dan bulan ke 24 hanya RM28.
Skim kami tidak membebankan pelanggan dan bebas daripada unsur riba.
Apakah keistimewaan penapis yang diketengahkan oleh syarikat HTNSB?
MOHD.: Penapis Air Hijrah Aura Ion Beralkali menggunakan gabungan teknologi canggih dari Korea, United Kingdom dan Jepun, pengujian dan pengesahan mengikut piawaian antarabangsa dari Sirim No2006KL1088. Sistem penapisan kami dapat menapis dan menyingkirkan lebih daripada 99 peratus pencemaran, klorin, bakteria, kulat dan logam berat merbahaya dalam air.
Malah melalui teknologi inframerah jauh dan batu mineral semula jadi produk ini mampu membekalkan tenaga, mineral semula jadi dan kalsium kepada air minuman anda. Sekali gus memberi daya hidup kepada sel-sel darah, memperbaiki sistem pengaliran dan meningkatkan tahap kesihatan anda sekeluarga.
Yang unik dan istimewanya penapis air Hijrah ini ialah ia bebas daripada penggunaan tulang haiwan di dalamnya dan katrij keluaran syarikat kami hanya menggunakan batu batan dan tempurung kelapa sebagai gantian tulang haiwan yang diimport dari Filipina.
Selain itu, kos penyelenggaraan juga murah, ada setengah penapis air memerlukan tiga atau empat katrij untuk ditukar dalam tempoh setahun yang melibatkan kos di antara RM300 atau RM400, tetapi penapis air kami hanya memerlukan belanja tidak sampai RM100 untuk setiap tahun.
Di samping itu, kandungan PH kami tinggi menghampiri air zam zam, amat sesuai untuk meneutralkan asid di dalam badan. Kajian para saintis menyatakan pelbagai penyakit berpunca daripada sel tubuh yang berasid dan ia terbentuk daripada pemakanan seharian kita.
Oleh itu, mineral beralkali yang terdapat di dalam air minuman boleh membantu meneutralkan sisa buangan berasid sebagai pencegahan terhadap pelbagai penyakit seperti gout, kencing manis, sakit sendi dan sebagainya termasuk kanser.
Hal ini diakui oleh pengarah Majlis Air Antarabangsa, Dr. Mona Harisson. Beliau mengatakan sel kanser mati dalam air beralkali, virus dan agen jangkitan lain tidak boleh hidup di persekitaran alkali dan air beralkali baik untuk insomnia dan Colic. Sel yang sihat akan bersifat alkali dan sel yang rosak atau tidak sihat bersifat asid.
Mengapa perniagaan ini yang dipilih dan tidak kepada bentuk perniagaan lain?
MOHD.: Kami memilih produk penapis air adalah kerana ia merupakan produk keperluan dan bukan produk mewah. Sungguhpun permintaan terhadapnya sangat tinggi di pasaran, tetapi kebanyakan pelanggan tidak berkemampuan untuk membeli apa lagi secara tunai.
Apakah cabaran yang dihadapi dalam bidang ini dan bagaimana mengatasinya?
MOHD.: Dalam perniagaan, rintangan dan cabaran tetap ada di depan mata seperti, persaingan dengan syarikat gergasi, pandangan rendah masyarakat Islam terutamanya terhadap produk keluaran Muslim dan sebagainya.
Pun begitu, pengalaman selama 19 tahun dalam bidang pemasaran telah mematangkan saya dan faham akan kehendak pengguna jika satu-satu produk itu berada di pasaran.
Kita hanya meniru dan mengubah suai produk tersebut sesuai mengikut kehendak pasaran khususnya untuk kegunaan umat Islam. Alhamdulillah, sekarang orang Islam telah sedar bahawa kuasa membeli adalah amat tinggi daripada masyarakat Islam. Sebab itulah hanya dengan bantuan orang Islam sahaja ekonomi ummah boleh berkembang.
Kepuasan yang bagaimanakah yang diperoleh dalam bidang ini?
MOHD.: Apabila pelanggan Islam khususnya, yang menggunakan produk kami, mereka mengucapkan terima kasih kerana mengeluarkan produk mengikut hukum syariah tanpa riba serta produk yang halal. Hal ini telah menyentuh perasaan dan saya merasa bangga dapat membantu mereka keluar daripada kepompong produk yang bertentangan dengan Islam.
Saya juga dapat melahirkan ramai usahawan yang berjaya dengan memperoleh pendapatan RM2,000 ke atas. Apabila usahawan menjadi stokis, 70 peratus bayaran daripada pelanggan sebanyak RM65 setiap bulan selama dua tahun, usahawan akan mendapat RM45 selama dua tahun juga.
Bagi mereka yang berminat menjana pendapatan bolehlah menjadi stokis kami dengan permulaan modal yang berpatutan. Mereka bolehlah menghubungi talian 06-978 8384 atau layari laman web kami di alamat http://www.hijrahwater.com/
Apakah pandangan saudara berkaitan saranan Islam iaitu 9/10 punca rezeki adalah melalui perniagaan?
MOHD.: Tidak dinafikan 9/10 punca rezeki datang daripada perniagaan, tetapi kita harus ingat bentuk perniagaan yang kita lakukan, adakah produk yang dijual atau konsep perniagaan itu mengikut kehendak syarak.
Sebagai contoh kita menjual ikan dengan menipu timbangan, menjual barang dengan skim pinjaman berunsur riba, menjual daging dengan mencampurkan daging lama dengan daging baru tanpa pengetahuan pelanggan tetapi mengenakan bayaran mengikut daging yang baru dan sebagainya, hukumnya adalah haram dan tidak mendapat keberkatan daripada Allah SWT dan akhirnya, perniagaan ditutup.
Maka 9/10 punca rezeki yang dikatakan itu tidak berjaya kerana bercanggah dengan hukum Islam. Kegagalan itu bukan disebabkan bidang perniagaan tetapi konsep perniagaan itu sendiri telah menutup pintu rezeki dalam perniagaan tersebut.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 19 NOVEMBER 2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan