PENGUNJUNG SETIA

23 November 2008

PENYAMUN UGUT BAKAR

Oleh ZALIFAH MOHD YATIM
zalifah@hmetro.com.my


TANGKAK: Sekumpulan lima penyamun bertindak ganas apabila menyimbah petrol serta mengugut membakar sekeluarga mangsa sebelum menggeledah rumah dan melarikan wang tunai serta dua telefon bimbit bernilai RM5,000 dalam kejadian samun di Kampung Kenanga, Kundang Ulu, dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian antara jam 1.30 hingga 2.45 pagi itu, kumpulan penyamun bersenjatakan parang panjang, pisau dan gunting besi serta bertopeng memecah masuk kediaman berkenaan dengan memotong besi tingkap dapur ketika empat mangsa terbabit sedang lena tidur di bilik masing-masing.

Mangsa, Abdullah Omar, 55, berkata ketika kejadian, dia tidur bersama isterinya, Sapinah Surpadi, 55, di dalam bilik manakala dua anak lelakinya Mohd Shukri, 22, tidur di dalam biliknya manakala Mohd Nazri, 24, tidur di ruang tamu selepas menonton televisyen.

Mereka terjaga apabila kumpulan penjenayah itu membuka lampu sebelum mengikat kaki dan tangannya semua mangsa.

“Apabila gagal mendapatkan wang tunai selepas menggeledah rumah, mereka memukul dan menendang saya serta isteri sehingga luka di bahagian belakang manakala isteri lebam di pipi kiri. Mereka kemudian mengikat pinggang saya, isteri dan Mohd Shukri.

“Kami tiga beranak kemudian disimbah petrol pada pakaian dan kain yang disepahkan di sekeliling kami. Mereka mengugut mahu membakar keluarga saya hidup-hidup sambil menunjukkan pemetik api.

“Namun, selepas menemui wang tunai yang disembunyikan di bahagian dapur bernilai RM2,000, mereka menyelubung kami bertiga dengan beberapa helai kain cadar dan sekali lagi menyimbah kami dengan petrol sebelum keadaan menjadi senyap dan mereka meninggalkan kami,” katanya.

Abdullah berkata, sepanjang kejadian itu, kumpulan terbabit menendang dan memukul selain mahu memotong perut isterinya apabila mereka memberitahu tiada wang atau barang kemas disimpan di dalam rumah.

“Ini kejadian kedua menimpa keluarga saya kerana pada 2005, rumah saya pernah dipecah masuk menyebabkan isteri menerima sembilan jahitan di bahagian kepala dan kami kerugian kira-kira RM25,000 apabila wang tunai, barang kemas dan sebuah kereta dilarikan.

“Berikutan pengalaman pahit itu, kami sekeluarga tidak lagi menyimpan banyak wang tunai di rumah, malah isteri yang trauma selepas kecederaan dialaminya kini hanya memakai emas tiruan,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan kejadian itu dan usaha menjejaki kumpulan penjenayah berkenaan giat dijalankan.

SUMBER: METRO AHAD, 23 NOVEMBER 2008

Tiada ulasan: