PENGUNJUNG SETIA

20 November 2008

PEMBAHAGIAN TANAH DIDAKWA TIDAK ADIL

Oleh Junita Mat Rasid
junita@bharian.com.my

PENDUDUK Ahmad Katan (kiri), Saiman dan Mohamad Fuad (kanan) membuat laporan polis mengenai penyelewengan pembahagian tanah di Kampung Kundang Teluk Rimba, Muar.

18 penduduk buat aduan bantah proses agih tanah Felcra Sungai Kesang Satu
MUAR: Seramai 18 penduduk di empat kampung di Mukim Kundang Teluk Rimba, dekat sini, membuat laporan polis membantah proses pembahagian tanah Felcra Saliran Sungai Kesang Satu di Kampung Paya Kepong seluas 104 hektar yang didakwa dilakukan secara tidak adil.

Laporan polis itu dibuat wakil kumpulan berkenaan, Mohamad Fuad Talib, 44, yang turut menyenaraikan nama 18 orang pemohon terbabit yang berusia antara 28 hingga 82 tahun, dalam laporan yang dibuat di Balai Polis Sungai Mati, di sini, semalam.

Kumpulan itu juga sudah menyerahkan bantahan kepada Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman dan dijangka membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) dalam tempoh terdekat.

Mohamad Fuad berkata, beliau dimaklumkan bahawa Julai lalu, seramai 174 pemohon daripada tiga kampung mendapat tanah seluas 0.8 hektar setiap seorang tetapi mendakwa proses pembahagian tanah yang diuruskan ketua kampung itu dilakukan secara tidak adil.

Beliau berkata, pihaknya membuat aduan berikutan ada ketidakadilan dalam pembahagian tanah diuruskan tiga ketua kampung di kawasan mukim berkenaan.

Katanya, daripada senarai pemohon yang mendapat tanah itu, terdapat banyak kecacatan berlaku termasuk penerimanya adalah kroni ketua kampung, malah ada di kalangan penerima pernah menerima tanah kurnia di tempat lain.

"Selain itu, ada beberapa keluarga asal kampung ini tidak disenarai sebagai penerima, selain ada beberapa orang bujang yang turut disenaraikan sebagai penerima serta sepasang suami isteri juga disenarai sebagai penerima hak milik tanah, malah, ada sehingga empat dan lima penerima adalah daripada satu keluarga yang sepatutnya tidak berlaku.

"Kami juga mendapati ada penerima yang tinggal di luar kampung turut diluluskan permohonannya," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis itu.

Beliau turut mendakwa bahawa borang permohonan tanah itu diagihkan pihak tertentu dan dijadikan bahan ugutan pada pilihan raya umum lalu.

Sementara seorang lagi pengadu, Saiman Hassan, 82, berkata beliau membuat permohonan tanah itu sejak 1965 lalu ketika berusia 40 tahun dan kecewa apabila tiba masanya, permohonan itu ditolak.

SUMBER: BERITA HARIAN, 20 NOVEMBER 2008

Tiada ulasan: