PENGUNJUNG SETIA

30 November 2008

PENYAMUN DIBERKAS

Oleh JUNITA MAT RASID

MUAR: Hanya empat jam selepas mengikat empat sekeluarga dan menyamun wang tunai serta telefon bimbit bernilai kira-kira RM2,000, seorang daripada tiga penyamun berjaya ditangkap polis ketika cuba lari ke arah lebuh raya berhampiran Kampung Serom 8, dekat sini, pagi semalam.

Dalam kejadian 8 pagi, suspek meninggalkan keretanya dan lari selepas merompak sebuah rumah di Kampung Parit Kassan, dekat Bukit Gambir.

Polis yang mengesan sebuah Proton Wira dalam keadaan mencurigakan kemudian mengekori kereta itu, menyebabkan lelaki terbabit yang berusia 30-an dan dipercayai warga Indonesia tiada pilihan kecuali meninggalkan kenderaan di tepi jalan.

Walaupun meninggalkan Proton Waja itu di tepi jalan dan cuba lari ke arah Projek Lebuhraya Utara Selatan, suspek terbabit berjaya ditahan polis manakala dua lagi rakannya masih bebas.

Siasatan awal polis mendapati Proton Waja yang digunakan perompak itu adalah kenderaan curi berdasarkan nombor pendaftaran dan nombor cukai jalan berbeza.

Terdahulu, kira-kira jam 4 pagi, lelaki itu bersama dua rakannya memecah masuk sebuah rumah di Kampung Parit Kassan sebelum mengikat empat sekeluarga dan melarikan wang tunai serta telefon bimbit bernilai kira-kira RM2,000.

Dalam kejadian itu semua perompak, termasuk dua bertopeng dan bersenjatakan parang serta besi pemotong, memasuki rumah berkenaan selepas memecah kunci mangga pintu belakang.

Perompak berkenaan kemudian mengikat mangsa, Siti Sulimah Riduan, 56, bersama dua anaknya, Siti Nohaliza, 21, dan Farhan Selamat, 20, serta anak saudaranya, Mohd Hanif Abdul Ghaffar, 18, sebelum menggeledah rumah berkenaan.

Jurucakap polis mengesahkan kejadian itu dan masih mengesan kumpulan yang dipercayai terbabit dalam beberapa kes pecah rumah dilaporkan sekitar daerah Muar dan Ledang.

SUMBER: METRO AHAD, 30 NOVEMBER 2008

Tiada ulasan: