MUAR 18 Nov. - Seramai 22 murid tahun enam Sekolah Kebangsaan Parit Kasan menyertai majlis khatam al-Quran yang diadakan di dewan sekolah tersebut di Ledang dekat sini hari ini.
Majlis anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru-guru (PIBG) itu turut dihadiri Yang Dipertua PIBG sekolah itu, Padil Md. Amin; Guru Besar sekolah, Munah Abdul Majid serta imam Masjid Jamek Parit Kasan, Haron Salleh.
Padil dalam ucapan perasmian majlis itu berkata, majlis khatam al-Quran itu merupakan program tahunan yang bertujuan memberikan pengiktirafan kepada murid-murid khususnya yang berada di tahun enam dan telah berjaya menamatkan bacaan al-Quran mereka.
"Objektif utama program ini adalah bagi memberi galakan dan perangsang kepada murid-murid di peringkat tahun lima ke bawah supaya memegang tekad menghabiskan bacaan al-Quran sebelum mencecah usia 12 tahun.
"Melalui program ini juga, murid-murid akan bersungguh-sungguh untuk khatam dan secara tidak langsung mereka akan membaca kitab suci itu setiap hari dan mengamalkannya amalan yang terdapat di dalam kitab suci itu," katanya.
Menurutnya, sebagai generasi muda, murid sekolah itu perlu celik dan mahir dalam bacaan al-Quran supaya ia menjadi pedoman dalam kehidupan seharian.
Pada majlis itu, seramai 22 murid yang menyertai majlis khatam al-Quran itu diraikan dengan dibawa berarak bersama paluan kompang sambil selawat menuju ke sekolah.
Setiap peserta dikehendaki membawa bunga pahar untuk diserahkan kepada guru mengaji mereka sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kerana telah membimbing mereka sehingga berjaya khatam membaca al-Quran.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 19 NOVEMBER 2008
1 ulasan:
wah bestnyer gambar paksu ader kt dlm nie.hidup paksu
Catat Ulasan