Nur Afrina yang menerima hadiah galakan sebuah basikal bergambar bersama ibunya, Manisah Abd Majid, bapanya, Abd Razak Sari, YDP PIBG SKS5D, Mohd Noh Abd Montalib dan Guru Besar, Mazlan Ahmad (kanan) pada majlis Hari Anugerah Kecemerlangan Akademik sekolah itu, baru-baru ini. (Foto: Nan9864)
Oleh ADISABARIMAN
LEDANG: Berkat bangun pada awal pagi untuk menelaah pelajaran telah membuahkan kejayaan kepada Nur Afrina Abd Razak apabila mendapat keputusan 5A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008 lalu.
Murid Sekolah Kebangsaan Simpang 5 Darat (SKS5D), Bukit Gambir itu mendapat kejayaan 5A bersama-sama empat lagi rakannya iaitu Iffa Izzah Ahmad Puat, Iskandar Jasman, Mohd Danial Mokles dan Nurazizah Bahari.
Menurut bapanya, Abd Razak Sari, 38, pekerja Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Muar berkata, anaknya memulakan rutin belajar di rumah selepas solat Isyak dengan menyiapkan kerja-kerja sekolah dan beliau akan tidur seawal jam 10 malam.
"Nur Afrina akan bangun pagi pada pukul 5 pagi untuk menelaah dan mengulangkaji pelajaran sehingga jam 6 pagi dan seterusnya bersiap-siap untuk ke sekolah," katanya kepada iNFOLEDANG pada Hari Anugerah Kecemerlangan Akademik SKS5D, baru-baru ini.
Katanya, beliau mahu Nur Afrina tidur awal supaya mendapat tidur dan rehat secukupnya bagi membolehkan dia bangun awal untuk mengulangkaji pelajaran pada waktu pagi memandangkan pada waktu itu minda anak-anak masih segar.
Bagaimanapun, katanya, anaknya diberi kelonggaran menonton televisyen pada hari cuti sekolah agar tidak terkongkong dengan rutin belajar sahaja.
Kejayaan Nur Afrina adalah hasil dorongan dan perangsang keluarga terutama ibunya, Manisah Abd Majid, 37 dan menjadi idola kepada dua orang adik beradiknya di samping didikan oleh para pendidik yang dedikasi di sekolah.
"Nur Afrina bercita-cita untuk menjadi seorang saintis dan diharapkan cita-cita yang ditanamkan itu menjadi pendorong dan semangat untuk terus belajar bersungguh-sungguh bagi mencapai apa yang dicita-citakan," tambah Abd Razak.
Abd Razak yang juga Ahli Jawatankuasa PIBG sekolah itu mewakili para ibu bapa mengucapkan terima kasih kepada guru-guru yang telah bertungkus lumus dan berusaha mendidik dan menjana kejayaan dan kecemerlangan murid-murid dan sekolah.
Katanya, banyak program yang bermanfaat yang menjurus ke arah kecemerlangan dalam pendidikan telah dilaksanakan oleh pihak sekolah dengan kerjasama PIBG.
Pada majlis itu, pelajar yang mendapat keputusan 5A telah menerima hadiah galakan berupa sebuah basikal yang disumbangkan oleh Ahli Parlimen Ledang, Ir Haji Hamim Samuri yang disampaikan oleh Yang Dipertua PIBG, Mohd Noh Abd Montalib dan Guru Besar, Mazlan Ahmad. -iNFOLEDANG
Tiada ulasan:
Catat Ulasan