PENGUNJUNG SETIA

22 November 2008

KERETA DILARIKAN, 5 SEKELUARGA DIANCAM PARANG PANJANG

SAKDIAH Bachik menunjukkan kesan lebam pada lengannya selepas dicederakan salah seorang penjenayah yang memecah masuk rumahnya di Kampung Parit Kasan di Bukit Gambir, dekat Ledang awal pagi kelmarin.

MUAR 21 Nov. - Lima sekeluarga di Kampung Parit Kasan Tangkak, dekat sini menyifatkan tempoh 30 minit yang dilalui ketika rumah mereka dipecah masuk empat penjenayah, awal pagi semalam adalah suatu pengalaman yang cukup menakutkan.

Sakdiah Bachik, 55, seorang suri rumah yang masih trauma akibat kejadian itu berkata, dia bersama suami serta tiga orang anaknya diikat serta diugut dengan parang panjang oleh penjenayah terbabit dalam kejadian kira-kira pukul 3.50 pagi itu.

Katanya, empat penjenayah bersenjatakan parang panjang, pisau, pemotong besi dan pemutar skru itu melarikan sebuah Perodua Viva serta barangan kemas, telefon bimbit dan wang tunai berjumlah lebih RM5,000 dalam kejadian tersebut.

"Hati saya masih seram sejuk apabila teringat kejadian pagi semalam, malah tangan kiri saya masih lebam akibat disiku oleh salah seorang penjenayah ketika cuba merentap rantai leher yang saya pakai.

"Dahi saya pula turut dihentak ke dinding, namun saya bersyukur kerana semua ahli keluarga saya tidak diapa-apakan," katanya ketika ditemui di rumahnya dekat sini.

Ketika kejadian, Sakdiah dan suaminya, A. Samad Buang, 53, yang juga seorang penoreh getah bersama-sama tiga anak mereka iaitu Mohd. Hazrin, 23; Hainey Hafifie, 16; dan Hasnur Lida, 15, sedang nyenyak tidur di bilik masing-masing.

Perompak dipercayai warga asing itu memecah masuk dengan membuka enam daripada lapan keping cermin tingkap di salah sebuah bilik rumah itu yang tidak berpenghuni.

Menurut Sakdiah, dia dan suaminya tersedar apabila salah seorang daripada penjenayah itu membuka suis lampu bilik tidurnya lalu mengarahkan mereka duduk di satu sudut sebelum mengikat pasangan terbabit dengan wayar mesin jahit.

Menjerit

Berikutan itu, kata Sakdiah, dia menjerit ketakutan namun penjenayah itu mengarahkan mereka supaya diam sebelum memasuki bilik tiga orang anaknya dan membawa mereka ke bilik pasangan itu untuk diikat.

"Ketika itu, empat lelaki tersebut menyelongkar rumah saya dan mengambil barangan termasuk empat buah telefon bimbit, seutas jam tangan, barangan kemas termasuk dua rantai serta gelang, sepasang subang dan wang tunai RM400 milik anak lelaki saya.

"Mereka kemudiannya mengambil wang RM70 daripada dompet suami saya sebelum mengikat tangan kami di belakang dan menutup muka kami sekeluarga dengan kain sebelum melarikan diri dengan kereta Viva Mohd. Hazrin," katanya.

Berikutan itu, A. Samad membuat laporan polis di Balai Polis Tangkak berhubung kejadian pecah rumah dan kehilangan kereta anak mereka, hari ini.

Kereta Perodua Viva warna hijau milik Mohd. Hazrin itu bernombor pendaftaran AGF 7127 dan baru dibelinya awal tahun ini, kata Sakdiah.

Menurutnya, dia yakin penjenayah itu cuba melarikan Proton Wira milik suaminya yang diletakkan di belakang rumah namun disebabkan minyak kenderaan itu yang hampir habis, mereka menukar pendirian membawa lari kereta anaknya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohammad Nasir Ramli ketika dihubungi hari ini mengesahkan kejadian itu.

Beliau berkata, usaha kini sedang giat dijalankan bagi mengesan keempat-empat penjenayah terbabit dan beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi mana-mana balai polis berdekatan.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 22 NOVEMBER 2008


Tiada ulasan: