PENGUNJUNG SETIA

06 November 2008

YAN SATE TERKENAL DI BUKIT GAMBIR

ROBIAN sibuk menyediakan sate yang diminta pelanggan.

Oleh Jamaludin Husin
bhnews@bharian.com.my

MUAR: Bermula dengan mengambil upah mencucuk sate di sebuah gerai menjual sate di Pekan Bukit Gambir, di sini, untuk menyara diri dan keluarga, Robian Muhammad, 38, kini bergelar pengusaha sate berjaya dan terkenal di daerah ini dan Ledang, sejak lima tahun lalu.

Robian yang menjalankan perniagaan menjual sate di sebuah restoran di Pekan Bukit Gambir, sejak lima tahun lalu, turut menerima tempahan untuk majlis keraian dan kesyukuran di kediaman orang kenamaan sekitar Bukit Gambir dan Grisek.

Menceritakan pengalamannya, beliau yang lebih dikenali sebagai Yan Sate di kalangan pelanggannya berkata, dia bekerja secara sambilan dengan mencucuk dan membakar sate di sebuah gerai di Bukit Gambir, pada 1988.

Beliau berkata, pekerjaannya itu memberi pengalaman yang tinggi nilainya kerana di samping mencucuk sate, dia mempelajari cara menyediakan ramuan dan rempah ratus serta daging yang sesuai bagi memastikan sate yang dihidangkan kepada pelanggan bermutu dan lazat.

"Saya juga belajar teknik mencucuk sate supaya sentiasa kemas bagi memastikan daging yang bersalut rempah tidak tercabut daripada lidi ketika dibakar.

“Cara membakar sate juga memerlukan pengetahuan terutama dari segi pengawalan api bagi mengelakkannya hangus,” katanya yang ditemui ketika menyediakan hidangan di majlis kesyukuran di Bukit Gambir, di sini, kelmarin.

Robian yang sudah berumahtangga dan mempunyai dua orang anak berkata, selepas 10 tahun mengumpul pengalaman, dia memberanikan diri untuk menceburkan diri dalam perniagaan sate dengan berniaga secara kecil-kecilan.

Perniagaannya mendapat sambutan menggalakkan menyebabkan beliau mengupah lima pekerja sambilan untuk mencucuk 1,000 cucuk sate untuk hidangan pelanggan di restoran yang beroperasi dari jam 2 petang hingga 10 malam.

Beliau berkata, disebabkan sering menerima undangan tempahan di majlis keramaian dan perkahwinan, dia hanya dapat menjalankan perniagaan selama kira-kira 15 hari di restoran setiap bulan kecuali ketika Ramadan.

Katanya, sempena Aidilfitri, dia tidak menang tangan untuk menyediakan sate kerana terlalu banyak menerima tempahan sepanjang Syawal.

Sate Robian berharga 45 sen secucuk berbanding 30 sen sebelum ini berikutan kenaikan harga daging serta rempah ratus.

Mereka yang ingin membuat tempahan boleh menghubunginya di talian 013-6500582.

SUMBER: BERITA HARIAN, 6 NOVEMBER 2008

Tiada ulasan: