PENGUNJUNG SETIA

08 November 2008

PASAR RIA SK SIMPANG 5 DARAT DAPAT SAMBUTAN

Oleh ADI SABARIMAN
infoledang@gmail.com


Murid-murid SK Simpang 5 Darat berpeluang melihat dengan lebih dekat jentera Jabatan Bomba dan Penyelamat yang mengadakan pameran. (Foto: Nan9864)

LEDANG:
Program Hari Pasar Ria yang dianjurkan oleh sesebuah sekolah dapat menjalinkan hubungan mesra di antara masyarakat dengan pihak sekolah.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Sekolah Kebangsaan Simpang 5 Darat (SKS5D), Mohd Noh Abd Montalib berkata, kerjasama ibu bapa dalam menjayakan sesuatu program yang dianjurkan oleh pihak sekolah amat diperlukan agar perancangan yang diatur beroleh kejayaan.

Sehubungan dengan itu, pihak sekolah telah menganjurkan Hari Pasar Ria baru-baru ini di mana ibu bapa telah menyumbangkan bahan-bahan untuk dipasarkan seperti sayur-sayuran, keledek, keladi dan sebagainya.

Katanya lagi, beberapa gerai yang menjual hasil mahsul kampung, makanan dan minuman turut disediakan dan mendapat sambutan orang ramai.

"Pendapatan yang diperolehi daripada jualan pasar ria ini dimasukkan ke dalam tabung PIBG bagi kegunaan para pelajar dalam meningkatkan kejayaan mereka," jelasnya.

Mohd Noh berkata, selain gerai jualan, pameran oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Tangkak juga diadakan di mana murid-murid dapat melihat dengan lebih dekat lagi jentera bomba yang digunakan untuk memadam kebakaran.

"Pihak bomba juga mengadakan demonstrasi memadam kebakaran dan memberi peluang orang ramai mencuba memadam api dengan alat pemadam yang disediakan," katanya kepada iNFO LEDANG selepas menyaksikan demonstrasi memadam kebakaran.

Turut hadir Guru Besar SKS5D, Mazlan Ahmad dan Naib YDP PIBG, Rosli Saring.
Sebahagian kanak-kanak Prasekolah yang menyertai pertandingan pakaian beragam sedang mengayakan pakaian mereka. (Foto: Nan9864)

Tambah beliau lagi, pertandingan mewarna untuk kanak-kanak Prasekolah dan Tabika Kemas turut diadakan di samping sukaneka dan pertandingan pakaian beragam.

Hadiah kepada para pemenang telah disampaikan oleh Guru Besar sekolah itu, Mazlan Ahmad. ~iNFO LEDANG

Tiada ulasan: