JOHOR BAHRU 25 Nov. - Desas-desus mengenai siapa yang menjadi Mufti Johor ketika ini terjawab apabila Sultan Johor, Sultan Iskandar Ismail berkenan melantik Timbalan Mufti Johor, Datuk Mohd. Tahrir Samsudin, 60, sebagai Mufti Johor yang baru.
Dengan pelantikan yang berkuat kuasa mulai 13 November lalu, Mohd. Tahrir dipilih menggantikan Datuk Nooh Gadot yang tamat kontrak perkhidmatannya pada 7 November lalu.
Pengerusi Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Datuk Zainal Abidin Osman berkata, berikutan itu Sultan Johor juga berkenaan melantik dan menaikkan pangkat Nooh sebagai Penasihat MAIJ mulai tarikh yang sama.
''Nooh yang merupakan lulusan Universiti Al-Azhar di Mesir, telah tamat tempoh kontrak perkhidmatannya pada 7 November setelah berkhidmat sebagai Mufti mulai 1999 hingga 7 November lalu.
''Tempat Nooh diisi oleh Mohd. Tahrir yang juga lulusan dari universiti yang sama," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Zainal yang juga Pengerusi Jawatankuasa Agama Johor berkata, pelantikan Nooh, 62, sebagai Penasihat MAIJ adalah satu penghormatan kepadanya yang turut sama-sama meningkatkan syiar Islam di negeri ini.
Mohd. Tahrir menjadi Timbalan Mufti sejak 1999 hingga November lalu.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 26 NOVEMBER 2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan