PENGUNJUNG SETIA

01 November 2008

MENABUNG 10 TAHUN

Oleh Zalifah Mohd Yatim dan Maiamalina Mohamed Amin
zalifah@hmetro.com.my


CUBA...Md Razali Md Said (dua dari kanan) memakai kain ihram sambil dibantu rakan sempena majlis meraikan bakal haji UMNO Bahagian Ledang.

TANGKAK: “Selepas 10 tahun menabung sedikit demi sedikit hasil jualan getah dan kelapa sawit, Alhamdulillah hasrat untuk menunaikan fardu haji untuk kali pertama tercapai,” kata Ragimah Basir, 62.

Katanya, dia bersyukur impiannya untuk menunaikan haji yang diidam-idamkan sekian lama tercapai berkat usaha menabung setiap bulan yang dilakukan sejak 10 tahun lalu.

Ragimah akan berangkat ke tanah suci Makkah bersama suaminya yang melaksanakan ibadat itu untuk kali kedua dan mereka bakal bertolak dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Ismail, Senai, esok.

“Saya berdoa dikurniakan kesihatan yang baik sepanjang di sana supaya dapat melaksanakan fardu haji dengan sempurna,” katanya ketika ditemui pada Majlis Kesyukuran dan Meraikan Bakal Haji Umno Bahagian Ledang di sini, semalam.

Menurutnya, suaminya antara 169 jemaah haji yang dipilih kerajaan negeri bagi kawasan Parlimen Ledang yang ditanggung tambang kapal terbang ke tanah suci.

“Alhamdulillah dengan sumbangan itu dapat meringankan beban dan duit yang kami miliki dapat digunakan untuk perbelanjaan sepanjang berada di Madinah dan Makkah,” katanya.

Seorang lagi bakal haji, Salmah Abd Samad, 57 berkata, dia dan suami akan berangkat pada 27 November ini ke Kelana Jaya, Kuala Lumpur, gembira terpilih antara 27,000 rakyat Malaysia yang akan mengerjakan haji tahun ini.

Katanya, ini kali pertama dia mengerjakan haji dan berdoa dapat melaksanakannya dengan sempurna.

SUMBER: HARIAN METRO, 1 NOVEMBER 2008

Tiada ulasan: