PENGUNJUNG SETIA

21 November 2008

TEKNOLOGI SEJUK BEKU BUAH TEMPATAN


Durian yang telah disejuk bekukan di kompleks bilik sejuk FAMA di Muar, Johor.

APABILA tiba musim buah-buahan, mereka yang paling gembira bukan sahaja penjual atau pemilik gerai serta pasar tani, malah penggemar buah-buah khususnya durian antara yang menunggu saat itu.

Ini kerana, ketika musim inilah mereka berpeluang menikmati pelbagai jenis buah-buahan segar bermusim, harga murah dan merasainya di mana juga.

Ketika ini, penggemar buah-buahan bagaikan kemaruk melihat lambakan buah dijual di tepi jalan dan tentunya mereka tidak akan melepaskan peluang untuk menikmatinya.

Malangnya, di sebalik kegembiraan tersebut dan kemeriahan pesta buah, pemilik dusun kadangkala bimbang kerana masalah lambakan selalunya menghantui mereka.

Buah yang terlalu banyak, dijual pada harga murah, tidak mungkin dapat dinikmati sekiranya disimpan terlalu lama yang boleh menyebabkannya rosak.

Seiring dengan kedatangan musim buah-buahan, masalah lambakan itu juga merisaukan kerajaan kerana bimbang ia akan menjejaskan industri tersebut dan mengikis keyakinan orang ramai terhadap kualiti produk segar di pasaran.

Agensi seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagaimanapun mengambil langkah proaktif dengan mewujudkan Gerai Buah-buahan Segar (GBBS) bagi membantu mempromosi hasil dusun tersebut.

Berdasarkan laman web agensi tersebut, GBBS merupakan salah satu daripada program pembangunan usahawan di bawah bimbingan FAMA.

Ia merupakan rangkaian gerai jualan buah-buahan milik usahawan sedia ada di seluruh negara yang telah dipilih untuk ditambah baik dengan imej yang seragam dan susun atur yang kemas serta menarik.

GBBS diwujudkan sebagai saluran alternatif kepada pengguna mendapatkan buah-buahan yang berkualiti serta sebagai luang kepada usahawan untuk meningkat urus niaga buah-buahan.

Sehingga kini FAMA telah berjaya membangunkan seramai 163 usahawan dengan 326 gerai di seluruh negara.

Selain GBBS, langkah terbaru FAMA ialah dengan menubuhkan kompleks sejuk beku di Jalan Solok Tangkak, Johor bagi mengatasi masalah lambakan yang selalunya melibatkan durian.

Kompleks sejuk beku itu dibina dengan peruntukan khas sebanyak RM480,000 bertujuan mengatasi masalah lambakan dan juga mengeksport durian sejuk beku.

Menurut Pegawai FAMA Daerah Muar/Ledang, Abd. Malek Ramli, pusat tersebut dibuka tahun lalu dengan percubaan menjalankan proses sejuk beku durian dengan menyimpannya selama lapan jam pada suhu -40 darjah Celsius.

Selepas itu buah berkenaan di masukkan ke dalam penyejuk bersuhu -18 darjah Celsius.

Beliau berkata, pihaknya juga memproses isi durian untuk tujuan sama tetapi untuk pasaran tempatan.

Bilik sejuk beku tersebut mampu memuatkan 200 tan metrik durian segar pada satu-satu masa dan 100 tan metrik isi durian.

Beliau berkata, bagi sebiji durian ia mampu menghasilkan 10 peratus isi dan ia dikeluarkan daripada biji secara manual dan menggunakan alat pelerai khas yang diperoleh daripada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

‘‘Kita telah mengeksport 100 tan metrik durian sejuk beku ke Australia pada Julai lalu, ‘’ ujarnya kepada Mega.

Kualiti durian yang dihasilkan daripada proses sejuk beku itu katanya, tidak berubah melainkan warnanya sedikit kekuningan.

Setakat ini katanya, durian segar diperoleh di sekitar Muar dan ada juga yang datang dari Jerantut, Pahang.

Usaha tersebut meskipun masih di peringkat awal tetapi berjaya membuktikan bahawa durian yang disejuk beku tanpa dikopek juga masih berkualiti.

Pada masa sama, masalah lambakan jika berlaku pada masa akan datang, boleh ditangani.

Kadangkala, buah segar juga dihantar ke pusat tersebut untuk disejuk beku jika ia tidak dipasarkan kerana harganya terlalu rendah.

‘‘Kita terima buah segar setiap musim buah yang hebat (tahun lalu) tetapi pada tahun ini jumlah pengeluaran agak sederhana,” ujarnya.

Ketika ini pihaknya juga dalam dalam proses percubaan untuk menghasilkan buah cempedak sejuk beku supaya kompleks tersebut dapat dimanfaatkan ke tahap maksimum. - LAUPA JUNUS

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 21 NOVEMBER 2008

Tiada ulasan: