PENGUNJUNG SETIA

26 November 2008

TIGA KAMPUNG ORANG ASLI MASIH TUNGGU ELEKTRIK

KERAJAAN negeri masih menunggu kelulusan permohonan bekalan elektrik luar bandar sistem talian grid dari Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah bagi pembekalan utiliti itu di Kampung Orang Asli Tanah Gembuh, Muar.


Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan negeri, Aisah Md Ariff, berkata kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tangkak mempunyai tiga perkampungan Orang Asli iaitu Kampung Orang Asli Sungai Mering, Kampung Orang Asli Tanah Gembuh dan Kampung Orang Asli Air Tawas.

Beliau berkata, seramai 156 penduduk membabitkan 26 keluarga Kampung Orang Asli Sungai Mering kini menikmati bekalan itu sejak 2005 sehingga ini, manakala Tanah Gembuh yang mempunyai 285 orang (52 keluarga) dan Air Tawas yang mempunyai 15 keluarga merangkumi 72 orang masih belum menerima bekalan itu.

"Bagi kampung Tanah Gembuh, permohonan Bekalan Elektrik Luar Bandar Sistem Talian Grid sudah dimajukan ke Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan kini menunggu kelulusan projek itu," katanya.

Mengenai kemudahan bekalan itu di Kampung Orang Asli Air Tawas, Tangkak, Asiah berkata, projek itu sudah diluluskan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Dana Akaun Amanah Industri Elektrik (AAIBE) pada 29 Januari lalu dengan dana dibiayai penuh AAIBE yang diuruskan Kementerian Tenaga air dan Komunikasi (KTAK), untuk dilaksanakan Tenaga Nasional Bhd (TNB).

Beliau berkata demikian menjawab kepada soalan Goh Tee Tee (BN-Tangkak) mengenai projek pembekalan elektrik ke Kampung Orang Asli Tanah Gembuh dan Kampung Orang Asli di Air Tawas pada Sidang Dewan Undangan Negeri di Bangunan Sultan Ibrahim, semalam.

SUMBER: BERITA HARIAN, 26 NOVEMBER 2008

Tiada ulasan: