JOHOR BAHRU 11 Nov. - Kumpulan Pendidikan Yayasan Pelajaran Johor (KPYPJ) akan membuka dua lagi cawangan Tadika Hikmah di bawah Program Pembangunan Usahawan di negeri ini awal tahun depan.
Ketua Pegawai Eksekutif KPYPJ, Dr. Sa'ari Md. Nooh berkata, dua cawangan tadika itu akan diwujudkan di Taman Nusantara, Gelang Patah dan Permas Jaya.
Menurutnya, dengan pembukaan dua tadika berkenaan, jumlah Tadika Hikmah di negeri ini menjadi lapan.
Enam lagi tadika seumpamanya telah diwujudkan di Taman Bukit Saujana, Larkin Jaya dan Taman Tampoi Utama di Johor Bahru, Taman Kota Jaya (Kota Tinggi), Parit Bunga (Muar) dan Jalan Parit Ibrahim (Pontian).
Sa'ari berkata, di bawah Program Pembangunan Usahawan Tadika Hikmah yang bersifat francais, para pengusaha perlu mencari sendiri lokasi bersesuaian serta modul pembelajaran meliputi buku teks dan seragam Tadika Hikmah sedia ada.
"Mereka juga perlu membayar yuran kerjasama sebanyak RM1,000 setiap bulan kepada KPYPJ selaku pengendali rangkaian Tadika Hikmah YPJ," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, langkah tersebut adalah selaras dengan matlamat kerajaan negeri untuk melahirkan lebih ramai usahawan Bumiputera dari negeri ini terutamanya dalam bidang pendidikan pra sekolah.
Beliau memberitahu, kurikulum Tadika Hikmah setanding dengan tadika persendirian yang lain termasuk memberi penekanan terhadap Arithmetik Mental/Sempoa, bahasa Melayu, bahasa Inggeris, Asas Komputer, Kaedah Mudah Membaca, Iqra, Fardhu Ain, Sains dan bahasa Arab.
Pada masa yang sama, KPYPJ sentiasa memastikan barisan tenaga pengajar Tadika Hikmah sentiasa berada di tahap yang terbaik melalui penyediaan pelbagai insentif dan latihan yang boleh memanfaatkan kerjaya mereka dan pelajar.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 21 NOVEMBER 2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan