PENGUNJUNG SETIA

13 November 2008

IBU BAPA PERLU GALAK ANAK AKTIF KOKURIKULUM


Padil sedang menyampaikan hadiah kepada peserta perkhemahan SKPK pada majlis penutupan program itu.

MUAR: Ibu bapa perlu menggalakkan anak mereka menyertai kegiatan kokurikulum anjuran sekolah, termasuk program perkhemahan kerana ia boleh meningkatkan minda di samping mendidik generasi muda bekerjasama menjayakan projek berfaedah secara berpasukan.


Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Parit Kassan (SKPK) Bukit Gambir, Padil Md Amin, berkata program perkhemahan adalah antara acara lasak yang sering dianjurkan pihak sekolah pada musim cuti, bagi menerapkan semangat gotong-royong dan prihatin sesama peserta terutama jika berlaku kecemasan.

Beliau berkata, melalui perkhemahan juga peserta dapat menilai sejauh mana ketabahan setiap individu ketika melakukan aktiviti yang diadakan, termasuk menyiapkan kerja rumah yang sering dilakukan ibu bapa seperti memasak dan mengemas.

"Acara yang diadakan juga dapat meningkatkan disiplin peserta, termasuk menepati masa dan memenuhi tanggungjawab yang diamanahkan untuk menyiapkan tugas diberikan,” katanya ketika merasmikan Majlis Penutupan Program Perkhemahan Pasukan Beruniform SKPK, Bukit Gambir, di sini, kelmarin.

Program itu dihadiri kira-kira 50 peserta, terdiri daripada murid tahun empat hingga enam yang menyertai Pasukan Pengakap dan Persatuan Puteri Islam di sekolah itu.

Hadir sama, Ketua Kampung Parit Kassan, Mohd Hamzah Basar; Guru Besar SKPK, Munah Abd Majid dan Guru Penolong Kanan Kokurikulum, Khudhairi Jais.

Sementara itu, Munah berkata, program perkhemahan itu adalah acara tahunan yang dianjurkan sekolah bertujuan melatih peserta untuk berdikari dan menyemai semangat kasih sayang, muhibah dan perpaduan.

Antara aktiviti yang diadakan sepanjang perkhemahan tiga hari itu adalah ceramah motivasi, pertandingan memasak, sukaneka, khemah terbaik, kawad kaki dan persembahan kebudayaan selain kuliah subuh, solat berjemaah dan merentas desa.

SUMBER: BERITA HARIAN, 13 NOVEMBER 2008

Tiada ulasan: