PENGUNJUNG SETIA

18 Mei 2009

2 PENDAKI PARAH DISENGAT LEBAH

Oleh Junita Mat Rasid
junita@bharian.com.my

ZAINI (terbaring) dan Shahril (kiri) dibawa turun oleh pasukan penyelamat dari Gunung Ledang selepas parah disengat lebah.

Mangsa kena 50 sengatan ketika panjat Gunung Ledang

TANGKAK: Dua daripada 21 pendaki Gunung Ledang, parah selepas diserang lebah selama hampir sejam berhampiran puncak gunung itu di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, Zaini Abdul Aziz, 24, dan Shahril Izar, 25, yang terkena sekurang-kurangnya 50 sengatan, terpaksa dibawa turun pasukan penyelamat untuk mendapatkan rawatan di Hospital Tangkak di sini, hampir 10 jam kemudian.

Seorang renjer Taman Negara Johor, Azman Ithnin, 47, turut cedera di dada selepas terjatuh ketika dalam perjalanan menyelamatkan mangsa dan terpaksa mendapat rawatan sebagai pesakit luar di hospital sama.

Kumpulan dari Kuala Lumpur itu dikatakan mendaki gunung itu melalui Asahan, Melaka, mulai kira-kira jam 9 pagi kelmarin dan sepatutnya bermalam di lokasi hentian yang dikenali sebagai Padang Batu sebelum meneruskan pendakian ke puncak keesokannya.

Seorang daripada pendaki itu yang juga kakitangan Universiti Malaya (UM), Rosdi Nawi, 45, berkata, kumpulannya berada berhampiran hentian Padang Batu apabila secara tiba-tiba mereka diserang sekumpulan lebah walaupun mereka tidak menemui sebarang kesan sarangnya.

Katanya, serangan lebah itu menyebabkan semua anggota kumpulan itu melarikan diri termasuk berguling ke tanah dan terjun ke anak sungai berhampiran, namun usaha itu tidak berhasil apabila lebah berkenaan terus menyengat mereka.

"Kepala saya sendiri disengat dengan sekurang-kurangnya 30 sengatan, manakala yang lain ada yang hanya terkena beberapa sengatan, tetapi Zaini dan Shahril terkena sekurang-kurangnya 50 sengatan," katanya ketika ditemui untuk mendapatkan rawatan di Hospital Tangkak.

Katanya, kejadian itu menyebabkan ramai anggota pendaki itu yang muntah dan cirit birit akibat bisa sengatan dan serangan lebah itu hanya terhenti selepas hampir sejam kemudian.

Rosdi yang kali ketiga menyertai ekspedisi mendaki gunung berkata, pihaknya kemudian menghubungi pihak berkuasa untuk mendapat bantuan berikutan dua daripada anggota kumpulannya itu cedera parah dan perlu dirawat segera.

Katanya, beliau bersama empat lagi rakannya termasuk dua yang cedera itu, mengambil masa kira-kira dua jam sebelum tiba di hentian tujuh yang dikenali sebagai Gunung Rundok sebelum diselamatkan oleh pasukan menyelamat.

"Mereka menggunakan laluan jalan berturap ke menara telekomunikasi berhampiran lokasi berkenaan sebelum menghantar kami ke hospital," katanya.

Beliau bersyukur kerana selain dua pendaki itu, semua anggota kumpulannya yang lain hanya cedera ringan dan masih boleh meneruskan perancangan mereka untuk bermalam di gunung itu.

SUMBER: BERITA HARIAN, 18 MEI 2009

Tiada ulasan: