TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

08 Mei 2009

KEISTIMEWAAN MEMBELI DI WETEX


Mior Abdul Rahman (dua dari kiri) menunjukan poster sempena program 'Membeli-belah Untuk Sekolah' di Wetex Parade, Muar, baru-baru ini.

MUAR 7 Mei - Hanya dengan resit pembelian, para penduduk di Muar sebenarnya boleh membantu menaik taraf kelengkapan sekolah anak- anak mereka menerusi program 'Membeli-belah Untuk Sekolah' yang dianjurkan Kompleks Wetex Parade di sini.

Program yang bermula 1 Mei hingga 28 Jun ini merupakan projek komuniti iaitu sekolah mana yang paling besar nilai terkumpul resit pembelian akan memperoleh bantuan kelengkapan pembelajaran bernilai hampir RM22,000.

Pengurus Pusat Hektar Black Sdn. Bhd., Mior Abdul Rahman berkata, bagi program yang julung kali diadakan di Muar itu, sebanyak 18 sekolah ini di daerah ini telah mengesahkan penyertaannya.

"Hanya dengan membeli-belah di Wetex, setiap sekolah yang dicalonkan akan mendapat satu mata bagi setiap RM1 nilai barangan yang dibelanjakan.

"Orang ramai cuma perlu membawa resit pembelian kepada kaunter pelanggan di Wetex dan kemudian memberitahu nama sekolah untuk mata tersebut diberikan," katanya di sini baru-baru ini.

Mior memberitahu, setiap sekolah yang menyertai program itu akan mendapat hadiah, namun johan keseluruhan akan mendapat hadiah yang bernilai hampir RM22,000 merangkumi sebuah komputer peribadi, kamus elektronik dan serta produk alat tulis.

"Antara sekolah yang mengesahkan penyertaan ini adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Abong, SMK Tun Perak, Sekolah Kebangsaan (SK) Sawah Ring, SK Parit Setongkat, SK Serom 5 dan SK Sialang.

"Turut menyertainya adalah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hwa 2A, SJKC Soon Cheng dan SJK Yu Jern," katanya.

Beliau memberitahu, sebelum ini program tersebut pernah diadakan di Mahkota Parade, Melaka dan Subang Parade, Selangor.

"Daripada respons terdahulu yang kami terima, pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) telah memberi kerjasama yang amat hebat dalam menjayakan program yang dapat memberi bantuan kepada sekolah anak-anak mereka.

"Lagipun, ini merupakan usaha kami dalam memberi bakti kepada masyarakat yang begitu setia membeli-belah di kompleks kami," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 8 MEI 2009


Tiada ulasan: