TANGKAK: Tindakan seorang pemandu teksi menukar haluan secara mengejut membawa padah apabila kenderaan itu berlanggar dengan sebuah treler sehingga menyebabkan seorang penumpang terbunuh dalam kemalangan di Jalan Kesang di sini, awal pagi semalam.
Dalam kemalangan kira-kira jam 1 pagi itu, wanita warga Indonesia dikenali sebagai Aryani, 22, dipercayai meninggal dunia ketika dalam perjalanan untuk menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF).
Seorang lagi wanita warga Indonesia dipercayai rakan mangsa dan dua lelaki, termasuk pemandu teksi, masih dirawat di HPSF.
Jurucakap polis berkata, kereta sewa yang dinaiki mangsa bersama seorang rakannya dalam perjalanan dari Negeri Sembilan menuju ke Muar.
“Pemandu teksi itu itu turut membawa seorang kenalan lelakinya yang duduk di bahagian penumpang depan manakala mangsa yang maut duduk di bahagian penumpang belakang sebelah kiri.
“Berdasarkan siasatan awal, teksi dinaiki mangsa dipercayai di laluan kanan tetapi apabila sampai ke laluan menuju ke Jambatan Kedua, pemandunya tiba-tiba menukar laluan ke kiri secara mengejut, menyebabkan treler tidak sempat mengelak sebelum melanggar kenderaan itu,” katanya.
Difahamkan, mayat mangsa masih ada di Rumah Mayat HPSF dan menunggu majikannya untuk membuat tuntutan bagi menguruskan pengkebumiannya.
SUMBER: METRO AHAD, 24 MEI 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan