PENGUNJUNG SETIA

13 Mei 2009

WARGA EMAS DITEMBAK DEPAN RUMAH

LEDANG 12 Mei - Seorang lelaki warga emas yang baru pulang ke rumahnya mati ditembak dari jarak dekat dalam kejadian bunuh di Jalan Bukit Kontang, Kampung Baru 2, Tangkak, di sini malam tadi.

Mangsa, Ng Chai Heng, 62, dipercayai mati di hadapan pagar rumahnya sebaik sahaja dia tiba dengan basikal selepas keluar membeli barang di bandar Tangkak.

Ketua Polis Daerah Ledang, Supritendan Harun Idris berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian tersebut pada pukul 8.10 malam dan sebuah kereta peronda bergegas ke tempat kejadian.

''Anak mangsa yang berada di dalam rumah ketika kejadian terkejut apabila mendengar bunyi seperti letupan dan keluar mendapati ayahnya terbaring berlumuran darah.

''Seorang jiran mereka telah menghubungi polis namun apabila kami tiba, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Tangkak dengan ambulans," katanya.

Jelas Harun, mangsa merupakan seorang bekas kontraktor dan mempunyai dua orang anak yang bekerja di Singapura.

Menurut Harun, sehingga kini, pihaknya masih menunggu laporan Unit Forensik untuk mengetahui jarak tembakan tersebut namun berdasarkan siasatan awal, tembakan itu mengenai muka mangsa di bahagian bawah mata kanannya.

''Pihak polis juga masih menyiasat dari segenap aspek berhubung motif kejadian ini," katanya yang turut memberitahu siasatan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Katanya, berdasarkan siasatan awal, tiada jiran yang menyaksikan kejadian tersebut namun usaha bagi mengenal pasti suspek sedang giat dijalankan.

Sementara itu, menurut anak mangsa, Ng Boon Hock, 25, sebelum kejadian tersebut berlaku, seorang lelaki yang tidak dikenali datang ke rumahnya pada kira-kira pukul 5 petang sambil membawa sebuah kotak .

Katanya, lelaki yang kelihatan mencurigakan itu bertanyakan alamat rumahnya dan pada kotak tersebut sudah tertera nombor rumahnya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 13 MEI 2009

Tiada ulasan: