PENGUNJUNG SETIA

31 Mei 2009

140 SERTAI PERTANDINGAN KEMBARA DUGA 3 DIVISYEN

LEDANG 30 Mei - Seramai 140 pegawai dan anggota tentera berdepan dengan ujian getir bagi melengkapkan Pertandingan Kembara Duga Peringkat 3 Divisyen Tentera Darat Malaysia yang julung kali diadakan di Muar dan Ledang.

Pertandingan yang berlangsung selama enam hari itu menuntut keazaman mental dan ketahanan fizikal yang tinggi para tentera dalam lima disiplin utama yang cukup mencabar.

Kelima-lima disiplin tersebut meliputi acara berdayung sejauh 45 kilometer (km), berjalan laju sejauh 29 km, berakit 38 km, pandu arah sejauh 35 km dan menembak.

Panglima 7 Briged Kem Mahkota Kluang, Brigedier Jeneral Datuk Abu Musa A. Rahman berkata, pertandingan tersebut merupakan sebahagian daripada kesiapsiagaan pihaknya bagi memastikan pertahanan negara dalam peringkat terbaik.

"Secara ringkasnya, objektif yang telah digariskan bagi pertandingan Kembara Duga adalah untuk menguji ketahanan mental dan fizikal dalam menempuh halangan dan cabaran semasa melaksanakan tugas walaupun dalam keadaan berisiko.

"Seterusnya, membina semangat juang yang kental dengan ketahanan mental dan fizikal yang tinggi secara tidak langsung dapat memupuk semangat setiakawan, bertolak-ansur dan persefahaman dalam situasi yang tertekan," katanya.

Beliau berucap pada majlis perasmian pertandingan tersebut di Parit Jarum Laut di sini kelmarin.

Hadir sama Komander Artileri 3 Divisyen, Brigedier Jeneral Datuk Rohisah Yahya, Timbalan Panglima 7 Briged, Kolonel Azlan Abd. Rahman dan Ketua Staf Markas 3 Divisyen, Kolonel Zulkapri Rahamat.

Sebanyak lima pasukan daripada 3 Divisyen menyertai pertandingan tersebut dengan merangkumi 1 Briged Seremban, 4 Briged Kuantan, 7 Briged Kluang, Trup 3 Divisyen Melaka dan Divisyen Artileri Melaka.

Setiap pasukan berkenaan mempunyai seramai 28 anggota termasuk seorang pegawai dalam mengharungi cabaran yang ditetapkan.

Menurut Abu Musa, dalam pertandingan tersebut, pihaknya akan turut menilai tahap kualiti kepimpinan pasukan dengan menguji 'perintah dan kawalan' setiap anggota.

"Pertandingan ini seterusnya akan menentukan johan untuk dipilih mewakili 3 Divisyen ke pertandingan peringkat Medan Tentera Darat yang dirancang untuk dilaksanakan pada bulan Julai depan di Sabah," katanya.

SUMBER: MINGGUAN MALAYSIA, 31 MEI 2009

Tiada ulasan: