PENGUNJUNG SETIA

01 Jun 2009

USAH LEMAHKAN PERPADUAN ISLAM KERANA POLITIK: TPM

MUHYIDDIN menjamu selera pada majlis sambutan Maulidur Rasul anjuran Umno Pagoh di Dewan Pekembar, Pagoh, semalam.

Pemimpin berbeza fahaman digesa perkukuh persaudaraan

MUAR: Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta semua pihak, terutama parti politik tidak menjadikan perbezaan fahaman politik sebagai penghalang kepada usaha membangunkan umat Islam.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ini kerana perkembangan mutakhir menyaksikan kedudukan Islam semakin tercabar berikutan perbezaan fahaman politik membabitkan ramai pemimpin Islam.

Sehubungan itu, beliau menggesa pemimpin Islam tanpa mengira fahaman politik bersatu mengukuhkan perpaduan umat Islam di negara ini.

"Kita boleh berbeza pandangan politik, tetapi soal pokok bagi menentukan kedudukan Islam tidak tergugat dalam ekonomi, sosial, pendidikan dan kebudayaan harus menjadi agenda utama kita bersama.

"Kini, kita berdepan masalah kerana perbezaan fahaman politik. Saya mengajak seluruh pimpinan Islam bukan saja kerajaan, malah di luar kerajaan mengambil perhatian khusus terhadap perpaduan ummah dan tidak memecah belah perpaduan Islam hanya kerana fahaman politik," katanya.

Beliau berkata demikian pada sambutan Maulidur Rasul anjuran Umno Pagoh di Dewan Pekembar, Pagoh, di sini semalam.

Muhyiddin berkata, banyak negara Islam lain seperti Palestin dan Afghanistan gagal mengatasi kemelut dalaman hanya kerana kerapuhan perpaduan rakyat serta pemimpin.

"Kita tidak mahu Malaysia gagal... sebab itu walaupun kita mempunyai pandangan yang berbeza, kita tidak harus melakukan sesuatu yang boleh jejaskan perpaduan dan kekuatan Islam.

"Kita bimbang melihat umat Islam tidak bersatu walaupun sudah lebih 50 tahun berjuang menerusi Umno untuk mengukuhkan perpaduan serta mengangkat martabat Islam pada kedudukan yang tinggi," katanya.

Beliau turut mengingatkan masyarakat bukan Islam supaya tidak bimbang dan berasa tergugat dengan usaha mengukuhkan perpaduan pemimpin Islam.

"Masyarakat bukan Islam harus sedar, jika sesuatu berlaku sehingga berlakunya perpecahan dalam Islam, mereka juga akan menerima kesannya. Ini kerana umat Islam di Malaysia adalah kumpulan majoriti dan menjadi teras kekuatan negara dalam semua bidang," katanya.

SUMBER: BERITA HARIAN, 1 JUN 2009

Tiada ulasan: