TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

22 Jun 2009

RAMAI TAK MANFAAT ALAT PENGUNCI RODA MOTOSIKAL

Oleh Junita Mat Rasid
junita@bharian.com.my

SEORANG penunggang motosikal mengguna alat pengunci disediakan PBT.

TANGKAK: Kemudahan alat pengunci roda motosikal yang disediakan di bandar ini boleh diibaratkan sebagai perhiasan semata-mata apabila penunggang motosikal tidak menggunakannya.

Pepatah 'beringat sebelum kena' sepatutnya dijadikan sebagai langkah terbaik bagi setiap penunggang motosikal dengan menggunakan sepenuhnya kemudahan alat pengunci roda motosikal sebagai usaha mengelak motosikal mereka menjadi sasaran pencuri.

Tinjauan di beberapa lokasi utama di sekitar bandar ini mendapatkan tiada satu pun motosikal yang dikunci menggunakan alat yang disediakan di tempat letak khas motosikal.

Ada juga penunggang motosikal yang hanya menutup suis utama dan tidak mengunci hendal menyebabkan mudah menjadi sasaran pencuri.

Malah ada yang beranggapan penggunaan tempat kunci khas itu tidak praktikal kerana setiap pemilik motosikal perlu membawa kunci mangga masing-masing bagi membolehkan motosikal mereka dikunci pada tempat yang dikhaskan, walaupun sebenarnya kaedah itu mudah jika mereka sentiasa bersedia membawa mangga untuk dijadikan sebagai kunci ketiga.

Penggunaan peralatan itu juga sebenarnya boleh membantu mengurangkan risiko kecurian motosikal yang hampir setiap hari dilaporkan berlaku.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris, berkata sikap pandang mudah dan cuai menjadi penyumbang utama kepada jenayah curi motosikal kerana pemilik motosikal didapati gagal menyediakan kunci tambahan sebagai langkah keselamatan sekali gus memudahkan penjenayah melarikan motosikal mereka.

Katanya, secara purata, setiap hari sebuah motosikal dicuri dan jumlah itu walaupun rendah namun jika dikumpul, boleh dikatakan setiap bulan kira-kira 30 motosikal didapati hilang, sekali gus menyebabkan kerugian kepada pemiliknya.

"Sebenarnya banyak kes kecurian motosikal berlaku disebabkan orang ramai tidak mempunyai kesedaran untuk menjaga harta mereka dengan cara memastikan menggunakan kunci tambahan termasuk penggunaan tempat khas mengunci motosikal yang disediakan oleh pihak berkuasa tempatan," katanya.

Katanya, walaupun pelbagai kempen dijalankan termasuk menyediakan lokasi khas meletak motosikal, sikap sambil lewa pemilik motosikal yang enggan menggunakannya membuka peluang kepada penjenayah.

Beliau berkata, pemasangan peralatan mengunci motosikal itu sepatutnya digunakan sepenuhnya bagi memastikan keselamatan motosikal mereka, sekali gus menurunkan kadar jenayah membabitkan kecurian motosikal.

"Jika semua penunggang motosikal menggunakan sepenuhnya kemudahan yang disediakan di tempat meletak motosikal itu sudah pasti kes kecurian motosikal dapat dielakkan. Ini kerana jika penjenayah mahu mencurinya mereka perlu menggunakan gergaji atau pemotong besi dan proses itu akan mengambil masa serta menarik perhatian orang ramai," katanya.

SUMBER: BERITA HARIAN, 22 JUN 2009

Tiada ulasan: