PENGUNJUNG SETIA

05 Jun 2009

RAS DI SEMUA KAWASAN PARLIMEN


Muhyiddin Yassin dan Douglas Unggah Embas (kiri) mendengar penerangan pelajar SK Bakri Batu 5, Muar, ketika melawat tapak pameran alam sekitar pada Majlis Pelancaran Rakan Alam Sekitar dan Penganugerahan Sekolah Lestari dan Alam Sekitar 2007/2008 di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Muar, Johor, semalam.


MUAR 4 Jun - Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan penubuhan Rakan Alam Sekitar (RAS) di setiap kawasan Parlimen bagi menggerakkan aktiviti pemuliharaan alam sekitar di peringkat akar umbi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, penubuhan RAS dan penyertaan semua pihak dalam isu tersebut amat penting kerana ia tidak boleh bergantung kepada inisiatif kerajaan semata-mata.

Beliau berharap, anggota masyarakat di setiap kawasan Parlimen dapat memainkan peranan masing-masing dalam membantu membanteras kegiatan yang mencemarkan alam sekitar.

"Dengan bantuan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, telah pun digariskan aktiviti-aktiviti yang boleh dibuat.

"Pihak pimpinan di peringkat tempatan boleh membantu dari soal pendidikan, kesedaran dan membuat pelbagai usaha untuk memelihara kawasan masing-masing daripada tercemar," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan RAS dan Penganugerahan Sekolah Lestari dan Alam Sekitar 2007/2008 di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini hari ini.

Turut hadir ialah Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman; Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Douglas Unggah Embas dan Ahli Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan.

Muhyiddin berkata, kesemua ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) akan dilantik sebagai Pengerusi RAS di kawasan masing-masing.

Bagaimanapun, jelas beliau, bagi kawasan Parlimen yang bukan di bawah BN, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar akan menguruskan pelantikan individu yang dapat dipertanggungjawab melaksanakan tugas tersebut.

Mengenai isu pemeliharaan sungai, Muhyiddin menegaskan, keutamaan kerajaan bukan sekadar untuk memulihara sungai-sungai yang terjejas malah melindungi sungai yang masih belum tercemar.

Menurutnya, sistem pengurusan yang tersusun dan terancang telah lama diterapkan memandangkan kawasan tadahan air dan sungai adalah nadi kehidupan yang perlu dijaga secara lestari.

"Apa pun, ini semua bergantung kepada manusia. Kalau buat sistem apa pun tapi orang ramai tidak prihatin tentang masalah alam sekitar, kawasan sungai dicemari dan pelbagai aktiviti yang dibuat membawa kesan pada flora dan fauna, ia akan merugikan kita," katanya.

Pada majlis tersebut, Muhyiddin turut menyampaikan anugerah kepada sekolah-sekolah di seluruh negara yang telah mencapai tahap tinggi dalam membudayakan ciri-ciri mesra alam serta menitikberatkan aspek pemuliharaan alam sekitar.

Bagi kategori sekolah rendah, Anugerah Sekolah Lestari dimenangi Sekolah Kebangsaan Bakri Batu 5, Muar, manakala kategori sekolah menengah diraih Sekolah Menengah Kebangsaan (Perempuan) Methodist Pulau Pinang.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 5 JUN 2009

Tiada ulasan: