PENGUNJUNG SETIA

28 Jun 2009

PERMUAFAKATAN BN DIBINCANG

Oleh Mohd Roji Abdullah
mdroji@bharian.com.my


MUHYIDDIN bergambar kenangan dengan peserta Pewaris 2009, di Muar, semalam.

Semua parti komponen perlu sepakat, pendirian mesti konsisten: TPM

MUAR: Permuafakatan parti komponen Barisan Nasional (BN) terhadap perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan harus dibincangkan semula bagi memastikan semua yang terbabit sepakat dalam semua isu berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pendirian parti terhadap perkara yang sudah dipersetujui dalam perlembagaan tidak boleh dilihat sentiasa berubah kerana ia boleh menimbulkan keraguan di kalangan masyarakat.

Beliau berkata, ketika ini, banyak berlaku perbezaan pendapat antara parti komponen BN berhubung perkara dalam perlembagaan dan ia dikhuatiri dilihat sebagai pendirian BN tidak konsisten.

Katanya, perkara pokok yang termaktub dalam perlembagaan seperti kedudukan Raja-Raja Melayu, hak istimewa orang Melayu, hak kaum bukan Melayu, agama Islam, bahasa kebangsaan dan pengagihan kekayaan harus dipelihara dan dipertahankan.

"Selepas lebih 50 tahun konsep permuafakatan itu dilaksanakan dalam BN, kini wujud perbezaan pendapat di kalangan parti komponen. Perkara ini banyak disumbangkan oleh perkembangan politik semasa yang semakin berubah akibat wujudnya pemikiran baru serta timbulnya harapan generasi muda yang lahir selepas era merdeka.

"Pendirian terhadap perkara disepakati dalam perlembagaan tidak sewajarnya dikorbankan," katanya selepas merasmikan Program Bersama Pewaris Muda (Pewaris) 2009, di sini, semalam.

Muhyiddin, berkata beliau sudah bertemu secara tidak formal dengan beberapa pemimpin parti komponen BN dan mereka bersetuju masalah yang timbul diselesaikan secara permuafakatan.

Sementara itu di MUAR, Muhyiddin berkata, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, tidak perlu meminta maaf daripada Umno ekoran kenyataannya yang menyamakan Umno dengan Ayah Pin dan komunis sebaliknya memohon ampun daripada Tuhan.

"Sebagai ulama dan tokoh agama yang disegani, Mursyidul Am Pas itu sepatutnya lebih mengetahui hukum membuat tuduhan yang boleh mencemarkan imej sesuatu pihak," katanya mengulas gesaan banyak pihak yang mahu Nik Aziz minta maaf kerana menyamakan Umno dengan Ayah Pin dan komunis.

Sementara itu, Muhyiddin yang akan mengumumkan calon BN pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, hari ini, berkata calon itu adalah yang terbaik dan mampu berkhidmat kepada rakyat.

Mengenai kenyataan Tengku Razaleigh Hamzah, yang yakin BN mampu merampas semula kerusi DUN itu, Muhyiddin berkata, sebagai orang lama, Ahli Parlimen Gua Musang itu tentunya lebih tahu keadaan sebenar di kawasan berkenaan.

SUMBER: BERITA MINGGU, 28 JUN 2009

Tiada ulasan: