PENGUNJUNG SETIA

26 Jun 2009

EKO-PELANCONGAN PROMOSI GUNUNG LEDANG

Ditulis oleh Hamirul Hairi

KOTA ISKANDAR:
Kerajaan negeri melalui Majlis Tindakan Pelancongan dengan kerjasama Jabatan Perhutanan dan Majlis Daerah Ledang sedang giat mempromosi Gunung Ledang sebagai pusat sukan dan riadah melalui program eko-pelancongan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Hoo Seong Chang berkata pelbagai acara sukan bertaraf antarabangsa diadakan di Gunung Ledang untuk menarik lebih ramai pelancong khususnya pelancong asing.

"Antaranya ialah kejohanan 2nd Johor Parks Ledang Climbathon Challenge 2008, Johor Parks Ledang International Mountain Bike Challenge 2007, 1st Johor Parks International Motor-Endurance Challenge 2005 dan Ledang Paragliding International Challenge 2005 yang mendapat sambutan menggalakkan dari peserta luar negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (Adun) Tangkak, Goh Tee Tee, pada Sidang Dewan Negeri Johor, di sini.

Selain itu katanya, kerajaan turut memperkenalkan program Adventure Learning Programme dan Eco-Discovery khusus bagi pelajar sekolah, pencinta alam, Institusi Pengajian Tinggi dan golongan muda yang ingin mendalami ilmu alam semulajadi serta ekologi kawasan itu.

Katanya lagi, bagi meningkatkan mutu insfrastruktur di kawasan itu, kerajaan telah memperuntukkan RM8 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK-9) untuk kerja-kerja naik taraf kemudahan pelancongan seperti penahan hakisan, landskap, kolam mandi, wakaf, dewan seminar dan dataran letak kereta.

SUMBER: MEDKOM.MY KHABAR ORANG JOHOR 26 JUN 2009

Tiada ulasan: