PENGUNJUNG SETIA

04 Jun 2009

PENIAGA PASAR LAMBAK TERKEJUT TERIMA NOTIS

LEDANG 3 Jun - Seramai 150 peniaga pasar lambak di Jalan Gambir di sini terkejut apabila menerima notis daripada Majlis Daerah Ledang (MDL) yang meminta mereka berpindah ke tapak baru bermula Jumaat ini.

Selepas berniaga di kawasan tersebut selama 30 tahun, para peniaga terbabit tidak berpuas hati dengan arahan tersebut yang dikhuatiri bakal menjejaskan pendapatan mereka.

Menurut wakil peniaga, Tee Kong Chuan, 53, pihaknya telah mendapat notis arahan pindah itu pada 29 Mei lalu dan tapak baru yang ditetapkan terletak kira-kira 100 meter dari lokasi asal.

Beliau mendakwa kedudukan tapak baru itu tidak strategik kerana terletak di bahagian belakang rumah kedai berbanding lokasi sekarang yang bersebelahan laluan utama penduduk.

"Saya memohon budi bicara MDL supaya membatal atau menangguhkan pemindahan ini kerana tindakan itu diambil secara tergesa-gesa tanpa langsung berbincang dengan para peniaga.

"Jika perniagaan kami terjejas, begitu juga pendapatan keluarga, apa lagi ketika ekonomi yang tidak menentu kebelakangan ini, berniaga sekarang bukan sama seperti dulu," katanya.

Menurutnya, para peniaga pasar lambak sentiasa memberi kerjasama yang baik kepada MDL termasuk membayar lesen perniagaan.

"Alasan perniagaan pasar lambak di sini menimbulkan masalah gangguan lalu lintas adalah tidak wajar kerana sudah lama kami beroperasi di sini.

"Di lokasi baru itu, banyak rumah kedai masih belum beroperasi," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 4 JUN 2009

Tiada ulasan: