TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

12 Jun 2009

PEMBINAAN TALI AIR DIJADUAL SIAP JULAI INI


Pembinaan tali air konkrit di kawasan padi Teluk Rimba, Ledang, berjalan mengikut jadual.

LEDANG 11 Jun - Para pesawah di Teluk Rimba di sini boleh menarik nafas lega kerana kerja-kerja pembinaan tali air konkrit di kawasan berkenaan berjalan lancar dan dijadual siap sebelum musim menanam padi pada hujung bulan depan.

Pembinaan tali air sepanjang 4.5 kilometer itu kini hanya menunggu kerja-kerja penyambungan kecil dari parit utama ke parit kecil.

Pembantu Teknik Tertinggi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Muar, Sa'dan Isnin berkata, hasil pemantauan pihaknya terhadap kontraktor yang dipertanggungjawabkan, mendapati segala kerja berjalan mengikut jadual ditetapkan.

"Kami sememangnya memahami yang kerja-kerja untuk membina tali air konkrit perlu dilakukan dalam tempoh singkat supaya tidak mengganggu aktiviti penanaman padi para penduduk.

"Oleh itu, kerja-kerja telah dilakukan dengan cepat dalam tempoh enam bulan ini supaya ia akan siap sebelum waktu menabur benih pada hujung Julai ini,'' katanya.

Sa'dan memberitahu, tali air berkenaan dibina dengan kedalaman 2.4 meter dan lebar 2.1 meter bagi membolehkan lebih banyak air disalirkan ke kawasan sawah.

"Projek pengairan kawasan sawah ini amat penting kerana bekalan airnya tidak boleh terputus-putus terutamanya ke blok-blok yang terpencil.

"Pengairan air ini dilakukan dengan menyambungkan air dari Sungai Kesang dan kami gunakan konkrit untuk memastikan jumlah air yang dibekalkan tidak berkurangan," katanya.

Katanya, selepas projek pembinaan tali air konkrit di Teluk Rimba selesai, pihaknya akan memperluaskan projek tersebut di kawasan padi di Sungai Balang, Muar.

"Walaupun Johor agak terkebelakang dari segi penggunaan tali air konkrit ini kerana tumpuan lebih banyak diberi di kawasan jelapang padi, namun usaha akan dipertingkatkan untuk membantu para pesawah di negeri ini," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 12 JUN 2009

Tiada ulasan: