PENGUNJUNG SETIA

29 Jun 2009

BELIA JANGAN KETEPI SEJARAH - MB


ABDUL Ghani bersama pemenang Anugerah Perdana Pertubuhan Belia Johor dari Persatuan Belia Mutiara Kampung Jawa, Kota Tinggi di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim Ledang, semalam.

MUAR 28 Jun - Golongan belia diingatkan supaya tidak mengetepikan asas sejarah pembentukan negara yang sehingga kini menjadi kunci kepada kejayaan perpaduan masyarakat di negara ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, sebagai generasi yang bakal mewarisi kepimpinan negara, golongan belia perlu menanam semangat jati diri yang tinggi bagi memastikan kedaulatan negara terjamin.

Beliau berkata, pendirian yang dipegang oleh golongan belia perlu membawa kepada usaha mewujudkan masyarakat yang kuat dan saling bersatu padu walaupun berbilang kaum.

"Percayalah, sekiranya asas sejarah kemerdekaan negara ini disisihkan begitu sahaja, kemungkinan bagi masa depan hanya membawa kepada ketidakadilan, ketidakseimbangan malah kezaliman," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perhimpunan Hari Belia Negara 2009 di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim Ledang di sini hari ini.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Belia dan Sukan negeri, Md. Jais Sarday dan Presiden Majlis Belia negeri, Datuk Ramli Ismail.

Abdul Ghani berkata, berdasarkan statistik, golongan belia merupakan komposisi masyarakat yang terbesar di negara ini dengan kejayaan masa depan negara terletak di tangan mereka.

"Saya berharap golongan belia di negeri ini akan berpegang kepada idealisme perjuangan yang kukuh, bukan sahaja untuk kemajuan diri sendiri malah kepada bangsa dan negara," katanya.

Menteri Besar berkata, biarpun pelbagai masalah melanda golongan belia dari generasi ke generasi, usaha membendungnya perlu dijalankan secara berterusan dengan pengisian yang bermanfaat.

Anugerah Perdana Pertubuhan Belia Johor pada tahun ini dimenangi Persatuan Belia Mutiara Kampung Jawa, Kota Tinggi, manakala naib johan ialah Persatuan Belia Bersatu Felda Endau Rompin.

Tokoh Jasa Belia Lelaki pula dianugerahkan kepada aktivis kemasyarakatan, Ishak Ismail manakala Tokoh Jasa Belia Wanita diberikan kepada pakar kaunseling, Maizatul Akmam Abu Bakar.

Pengarah Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ), A. Rahman Jaafar pula dipilih sebagai penerima Anugerah Khas Pemimpin Belia Berjasa atas sumbangan berterusannya terhadap golongan belia.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 29 JUN 2009

1 ulasan:

GilaUsahawanDotCom berkata...

Seronok tengok belia yang aktif menjalankan aktiviti berfaedah.

Belia Benci Dadah!!..