PENGUNJUNG SETIA

30 Jun 2009

BELIA DINASIHAT JANGAN LUPA SEJARAH

Ditulis oleh Hamirul Hairi

LEDANG : Golongan belia dinasihatkan untuk tidak melupakan sejarah pembentukan negara yang sehingga kini membawa kepada kejayaan perpaduan masyarakat di negara ini.

Menteri Besar, Dato' Abdul Ghani Othman berkata, sejarah pembentukan negara berasaskan persefahaman antara kaum sebagaimana terkandung dalam perlembagaan terbukti membawa kepada keamanan dan keharmonian negara.

"Sebarang usaha mengenepikan persefahaman itu hanya mengundang ketidakseimbangan dalam masyarakat pada masa depan, katanya

Beliau berkata demikian pada Majlis Perhimpunan Hari Belia Negara 2009 di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim Ledang di sini.

Katanya, namun kini ada pihak yang mahu diwujudkan persefahaman baru antara rakyat berbilang kaum kerana kononnya kerajaan sedia ada mengamalkan dasar pilih kasih.

"Tuntutan seperti ini adalah keterlaluan dan melampau kerana jika tidak ada unsur keadilan maka sudah tentu akan berlaku ketidakseimbangan dan kezaliman di negara ini," katanya.

Pada majlis itu, Abdul Ghani turut menyampaikan hadiah kepada penerima anugerah belia.

Anugerah Perdana Pertubuhan Belia Johor pada tahun ini dimenangi Persatuan Belia Mutiara Kampung Jawa, Kota Tinggi, manakala naib johan ialah Persatuan Belia Bersatu Felda Endau Rompin.

Tokoh Jasa Belia Lelaki pula dianugerahkan kepada aktivis kemasyarakatan, Ishak Ismail manakala Tokoh Jasa Belia Wanita diberikan kepada pakar kaunseling, Maizatul Akmam Abu Bakar.

Pengarah Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ), A. Rahman Jaafar pula dipilih sebagai penerima Anugerah Khas Pemimpin Belia Berjasa atas sumbangan berterusannya terhadap golongan belia.

Turut hadir ialah Speaker Dewan Negeri, Dato' Mohd Ali Hassan, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Abdul Latiff Yusof, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Belia dan Sukan negeri, Md. Jais Sarday dan Presiden Majlis Belia negeri, Datuk Ramli Ismail.

SUMBER: KHABAR ORANG JOHOR MEDKOM.MY 30 JUN 2009

Tiada ulasan: