PENGUNJUNG SETIA

05 Jun 2009

MUAR PERNAH ADA STESEN KERETA API

Oleh Jamaludin Husin
am@hmetro.com.my

MUAR: Satu ketika dulu, pernah wujud stesen kereta api di Muar yang menjadi pusat pengangkutan utama untuk memasarkan hasil pertanian iaitu buah-buahan, getah, kelapa, sayur-sayuran serta pinang masak.

Kereta api yang diberi nama Muar State Railway (MSR) atau Keretapi Kerajaan Muar berpangkalan di Bandar Maharani hingga ke Parit Bakar.

Menurut sejarah, MSR diwujudkan pada zaman pemerintahan Maharaja Abu Bakar yang beroperasi sepenuhnya pada sekitar 1890 sejauh kira-kira lapan kilometer dari bandar ini ke Padang ketika itu, yang kini dikenali Parit Bakar.

MSR mengandungi 11 gerabak iaitu tujuh bagi mengangkut barangan dagangan (kargo), dua gerabak tertutup dan dua lagi gerabak penumpang dengan kelajuan maksimum 20 kilometer (km) sejam.

Seorang pengkaji sejarah, Aladdin Bahari, 70, berkata perkhidmatan pengangkutan itu diperluaskan lagi sejauh kira-kira lima km iaitu dari Parit Bakar ke Parit Jawa pada 1913.

Beliau berkata, setahun kemudian iaitu pada 1914 pembinaan rel disambung hingga ke Sungai Pulai sejauh enam km menjadikan laluan Keretapi Kerajaan Muar ketika itu sejauh kira-kira 20km.

“Berdasarkan kajian sejarah MSR mewujudkan lima terminal, sebuah daripadanya di Bandar Maharani, iaitu di stesen bas dan teksi Jalan Petri sekarang yang dulunya dikenali sebagai Tangga Batu.

“Empat lagi terminal diwujudkan di beberapa pekan kecil iaitu, di Parit Bakar, Parit Jawa, Parit Pecah dan Sungai Pulai,” katanya.

Aladdin yang juga pesara guru yang pernah berkhidmat sekitar Parit Jawa, Parit Pecah dan Sungai Balang berkata, terminal itu diwujudkan bertujuan memberi kemudahan kepada penumpang dan petani mengangkut barangan dagangan untuk dipasarkan.

Beliau berkata, MSR mempunyai lapan stesen sementara di sepanjang jalan antara Bandar Maharani ke Sungai Pulai bagi tujuan mengambil dan menurunkan penumpang.

“Bagaimanapun perkhidmatan MSR itu tidak berpanjangan berikutan faktor ekologi dan ekonomi serta kekurangan tenaga pekerja yang tidak membolehkan pembinaan rel ke Batu Pahat diteruskan pada 1921,” katanya.

SUMBER: HARIAN METRO, 5 JUN 2009

Tiada ulasan: